Video insiden pemain tumbuk pengadil yang berlaku di Indonesia menarik perhatian umum dan kini menjadi viral di laman sosial.

Kejadian berlaku pada perlawanan antara Arema Cronus menentang Persela Lamongan dalam aksi kumpulan A, Piala Gubernur Kaltim, kejohanan yang diadakan di Kalimantan Timur atau dikenali sebagai Kaltim.

Dalam video tersebut jelas menunjukkan pemain Persela, Victor Pae bertindak menumbuk pengadil selepas tidak berpuas hati kerana dilayangkan kad merah.


Dalam laporan media di Indonesia, pengendali Persela, Stefan Hansson menganggap tindakan Pae sangat bodoh kerana skuadnya sedang mendahului perlawanan dengan 1-0.

“Saya lihat ini tindakan yang bodoh. Kehilangan seorang pemain mempengaruhi corak permainan pasukan,” kata Hansson yang turut mengakui Persela perlu banyak belajar dan perbaiki prestasi permainan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Segiri Samarinda, Kalimantan Jumaat lalu itu berkesudahan dengan keputusan 3-1 berpihak kepada Arema Cronus.