Video: FELDA Jadi Penjana Kuasa Sosioekonomi – PM

KUALA LUMPUR -Kerajaan mahu melihat masyarakat luar bandar dibangunkan selari dengan kemajuan yang dicapai oleh rakyat di bandar.

 

Menurut Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada hari ini telah diberikan dengan pelbagai kemudahan selari dengan amanat yang diberikan oleh bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak.

 

“Mereka yang tidak mempunyai tanah diberikan tanah seperti yang allahyarham Tun Razak sebut kita beri peneroka Felda tanah sebanyak 10 ekar tapi kalau hari ini jangan cakap 1o ekar, nak dapat 2 ekar pun payah.

 

“Selain tanah, peneroka juga diberikan rumah, sekolah, masjid dan segala yang lain malah generasi kedua turut diberikan pinjaman untuk membeli rumah.

 

“Setakat ini kerajaan telah meluluskan dana pinjaman perumahan tanpa faedah sebanyak RM1.1 billion kepada 41,429 keluarga peneroka, iaitu yang terbaik di dunia jauh lebih baik daripada along dan bank,” katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF), di Menara FELDA, di sini, sebentar tadi.

 

Perdana Menteri turut berkata, segala usaha yang digarap pemimpin terdahulu dalam membangunkan FELDA tidak sewajarnya terhenti, sebaliknya memerlukan kesinambungan untuk manfaat generasi seterusnya.

 

“Kejayaan anak FELDA hingga kini adalah hasil keringat pemimpin yang memperjuangkan konsep membangunkan Bumiputera dan peneroka sejak 59 tahun lalu.

 

“Namun, tidak mungkin cerita FELDA nak berakhir pada tahun 2016, ..kita tidak patut ada noktah dalam perjalanan ini kerana visi dan impian kita merentasi generasi 50 tahun akan datang.

 

“Justeru, kita nak FELDA jadi penjana kuasa sosioekonomi,” katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF), di Menara FELDA, di sini, sebentar tadi.

 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Presiden KAF, Fakhrurrazi Mohd Habib.

 

KAF adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan sebagai wadah baharu kepada generasi FELDA berumur 35 tahun ke atas untuk membantu memperkasa FELDA.

 

Najib turut meluangkan masa melancarkan Buku Kesejahteraan Adiwangsa FELDA, iaitu sebahagian usaha memacu dan memangkin pencapaian lima teras aspirasi FELDA Glokal.

 

Dua lagi pelancaran yang berlangsung pada majlis sama adalah Tabung Kemanusiaan Persatuan Wanita FELDA (WADA) – Kemboja dan Program Prihatin Jantung Anda. – SuaraTV