BEBERAPA penyokong Raja de Casablanca terbaring di Stadium RABAT, Maghribi – Dua orang terbunuh dan 54 lagi cedera selepas dua kumpulan penyokong dari pasukan yang sama, Raja de Casablanca bergaduh sesama sendiri dalam perlawanan bola sepak Liga Maghribi (Botola) di sini, semalam.

Walaupun Raja, yang menjadi tuan rumah dalam perlawanan tersebut berjaya mengalahkan lawan mereka Chabab Rif Al Hoceima 2-1, namun kemenangan itu tidak mampu menenangkan penyokong mereka yang dilihat membaling suar serta merosakkan Stadium Mohammed V.

Rakaman media tempatan me­nunjukkan penyokong Raja yang berpakaian hijau saling mengejar di antara satu sama lain, namun tidak dapat dipastikan bagaimana pergaduhan tersebut boleh terjadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan negara semalam, seramai 31 penonton te­lah ditangkap selepas terlibat dalam melakukan vandalisme, manakala 10 lagi turut ditahan sebelum perlawanan atas kesalahan sama.


Ekoran daripada keganasan tersebut Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola sepak Maghribi telah menjatuhkan hukuman kepada Raja dengan mengarahkan mereka bermain dalam lima perlawanan sete­rusnya tanpa kehadiran penonton.

Pasukan itu, yang kini menduduki tangga keenam dalam Botola turut didenda 9,000 Euro (RM41,000) dan boleh dikenakan tuntutan ganti rugi di atas segala kerosakan stadium yang telah dilakukan.

Sebagai rekod tahun lalu seorang lelaki mati di tengah bandar Khou­ribga sewaktu pergaduhan di antara penyokong Olympique Khouribga dengan peminat Raja.

Tiga tahun lalu lebih 200 orang ditahan selepas berlaku kekecohan di antara penyokong Raja dengan peminat FAR Rabat. – AFP