Tertuduh Nahas Familia MyVi Dalam Perjalanan Sambut Hari Jadi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Trafik di sini diberitahu dua pemandu Myvi dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah di sini untuk sambutan hari jadi apabila terlibat dalam kemalangan maut tiga beranak di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Mei tahun lepas.

 

Eksekutif sebuah syarikat, Muhammad Firdaus Roslan, 28, berkata beliau bersama-sama 10 ahli Familia Myvi Club (FMC) termasuk kedua-dua tertuduh membuat rancangan untuk ke Publika bagi menyambut ulang tahun kelahiran ahli kelab Siti Noor Aini Mohd Said, 36, pada hari itu.

 

Katanya, pada mulanya mereka berkumpul di sebuah restoran di Gombak sebelum memutuskan untuk pergi ke Publika dengan menaiki kereta masing-masing.

 

“Sebelum menuju ke Publika, saya bersama empat lagi ahli kelab pergi ke tempat cuci kereta di Petron di Jalan Ampang, sebelum dua lagi ahli kelab baharu termasuk Mohammad Fizal Reza, untuk menyertai sambutan hari kelahiran Siti Noor Aini,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

 

Muhammad Firdaus berkata demikian pada perbicaraan kes Siti Noor Aini, 36, dan Mohammad Fizal, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.

 

Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal didakwa melakukan kesalahan itu di KM6, Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 2 Mei tahun lepas.

 

Saksi kelapan pihak pendakwaan itu berkata, selain menyambut ulang tahun kelahiran Siti Noor Aini, mereka juga merancang ke Publika untuk melepak, bersembang dan menghisap shisha.

 

Muhammad Firdaus yang juga Ahli Jawatankuasa FMC berkata, ketika menuju ke lebuh raya tersebut, dia menaiki Vellfire dan mendahului sebuah lagi Myvi milik seorang ahli kelab itu yang bernama Zahid.

 

Namun, selepas melewati Tol Batu dan melalui selekoh, Muhammad Firdaus berkata ahli kelab lain termasuk Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal, tidak kelihatan di belakangnya.

 

Muhammad Firdaus kemudian memperlahankan kenderaan ke tepi jalan dan kemudian dimaklumkan Zahid bahawa Siti Noor Aini terlibat dalam kemalangan, dan dia berpatah semula keluar ke Jalan Kuching untuk melihat kejadian tersebut.

 

Ketika ditanya bagaimana keadaan Siti Noor Aini sejurus dia sampai di tempat kejadian, Muhammad Firdaus berkata Siti Noor Aini cedera di bahagian bibir dan beberapa kecederaan ringan di badannya.

 

Katanya, dia kemudian membawa Siti Noor Aini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut sebelum menemui empat rakan lain yang turut berada di hospital tersebut.

 

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung esok. – BERNAMA