Pemuda PAS Mahu Khairy Bertanggungjawab Isu Seleweng Dana RM100 Juta

SHAH ALAM – Pemuda Pas mendesak agar Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanggungjawab sepenuhnya atas salah laku pegawainya dalam kes melibatkan penyelewengan dana RM100 juta.

 

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, apa yang berlaku merupakan kelemahan yang tidak dapat dimaafkan meskipun Khairy menjelaskan penyelewengan tersebut tidak dapat dikesan oleh kementerian kerana suspek berkenaan menggunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan pihak atasan.

 

“Amat mustahil penyelewengan sebesar ini berlaku dalam masa yang singkat dan tanpa konspirasi daripada pentadbiran tertinggi kementerian.

 

“Pemuda Pas mendesak agar Khairy berundur dan meletakkan jawatan dengan kadar yang segera kerana telah terbukti gagal untuk memastikan wang rakyat diurus dengan sebaik mungkin oleh KBS,” katanya.

 

Semalam, Khairy mengadakan sidang media untuk mengumumkan pengesahan individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyalahgunaan dana RM100 juta adalah pegawai di bawah kementeriannya.

 

SPRM sebelum ini memaklumkan pegawai kerajaan berkenaan disyaki menjadi ‘mastermind’ yang mengarahkan salah sebuah agensi kementerian itu membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor bagi tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

 

Menurut Ahmad Fadhli, pihaknya melihat siasatan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan oleh pihak atasan hanya akan dapat dijalankan sekiranya menteri berkenaan meletakkan jawatan terlebih dahulu. – Sinar



This entry was posted in Politik, Terkini. Bookmark the permalink.