PAN Mahu PAS Dan IKATAN Sertai Pakatan Harapan

Pas yang telah membentuk sebuah blok pembangkang yang baharu bersama parti IKATAN, bagaimanapun telah menerima tawaran daripada Parti Amanah Negara (PAN) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Menurut PAN, mereka memang memahami keadaan Pas yang kini agak tawar hati untuk menyertai PH, tetapi PAN sedia membuka pintu PH untuk Pas pada bila-bila masa.

Tambah PAN, walaupun Pas sudah mempunyai rakan sekutu yang baru bagi menentang Umno dan Barisan Nasional (BN), PAN tetap mendoakan agar Pas terbuka hati untuk bersama PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ini bagi membolehkan PAS mengekalkan Kelantan sebagai kubu kuat Pas, sekaligus dapat menumbangkan Umno/BN pada PRU akan datang.

“Sebagai sebuah parti pembangkang yang pernah bersama, dasar buka pintu Pakatan Harapan adalah untuk menerima Pas dan lain-lain parti politik yang sudi bekerjasama.., dan akhirnya menjadikannya pertandingan melibatkan dua penjuru menentang BN,” kata Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Dalam masa sama, Wan Rahim turut memaklumkan kesediaan PAN untuk menjemput Pas ke dalam PH adalah disebabkan PAN mahu bekerjasama dengan Pas bagi menumbangkan kerajaan BN.

Jelas Wan Rahim, PAN walaupun merupakan serpihan Pas, tapi matlamat PAN tidak sama seperti parti serpihan Pas sebelum ini iaitu BERJASA, yang jelas menentang Pas dan bukannya menentang kerajaan yang zalim.

“Contohnya di Kelantan kita mempunyai pengalaman dalam PRU 1978, pada waktu itu Umno meraih kemenangan disebabkan parti serpihan Pas iaitu BERJASA menyertai pilihan raya untuk mengalahkan Pas.

“Berbeza dengan BERJASA, PAN tidak sertai pilihan raya untuk menewaskan Pas tetapi menyertai pilihan raya untuk mengalahkan BN. Keadaan itu berbeza,” katanya. – AndyBolat/Utaranews.com

ep2p-2