Mourinho sain kontrak bimbing Manchester United

Jose-Mourinho-vs-Sir-Alex-FergusonLONDON – Bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho dilaporkan sudah menandatangani pra kontrak untuk membimbing Manchester United sebaik saja musim ini berakhir, Jun nanti.

Menurut akhbar Sepanyol, El Pais, Mourinho yang terkenal dengan jolokan ‘The Special One’ akan menerima pampasan 15 juta pound (RM88 juta) sekiranya tidak dilantik secara rasmi oleh United pada 1 Jun depan.

Akhbar itu turut melaporkan, sumber rapat kepada wakil Mou­rinho, Jorge Mendes mengesahkan bekas jurulatih Inter Milan dan Real Madrid itu sudah menandatangani pra kontrak untuk menyertai United tetapi Red De­vils masih boleh mengubah keputusan itu.

Dilaporkan, beberapa anggota lembaga berpengaruh dalam Uni­ted, termasuk Bobby Charlton dan bekas pengurus, Alex Ferguson masih ragu-ragu untuk memberi tugas pengurus kepada Mou­rinho.

Wartawan El Pais, Diego Torres dalam artikelnya ‘The Special One: Rahsia Dunia Jose Mourinho’ mendakwa, Red Devils sudah me­ngadakan rundingan de­ngan wakil jurulatih kelahiran Portugal itu sejak awal tahun ini.


Malah, Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward juga telah menghubungi ejen Mou­rinho, Mendes, sebaik saja United dimalukan oleh kelab kerdil Denmark, Midtjylland 2-1 dalam perlawanan pertama, pe­ringkat 32 terbaik Liga Europa pada 18 Februari lalu.

Laporan El Pais turut disokong oleh akhbar Manchester Evening News (M.E.N) Sport, yang mendedahkan Mourinho telah mencapai persetujuan lisan dengan United, meskipun bekas bintang Red Devils, Ryan Giggs mendapat sokongan untuk menggantikan Louis van Gaal.

Mourinho juga dikatakan me­nyasarkan penyerang Tottenham, Harry Kane sebagai pembe­lian besar pertamanya sebaik saja mengambil alih juara Liga Perdana Inggeris 20 kali itu.

Kane, 22, masih memiliki kontrak dengan Spurs sehingga 2020, dan itu bermakna United terpaksa berbelanja jauh lebih besar berbanding ketika mahu membawa masuk bintang tengah Argentina, Angel di Maria yang dibeli pada harga 59.7 juta pound (RM349.98 juta) pada 2014. – AGENSI

Comments

comments

ep2p-5small