KIM SWEE MINTA PEMAIN HARIMAU MALAYSIA UBAH MENTALITI

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mahu ‘fobia’ terhadap pasukan lawan dari Timur Tengah tidak lagi membelenggu skuad Harimau Malaysia apabila mereka bakal berdepan Arab Saudi pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, 24 Mac ini.

Tahun lalu, sewaktu di bawah kendalian Dollah Salleh, skuad kebangsaan dibelasah Palestin 6-0 di Bukit Jalil pada 16 Jun dan UAE 10-0 di Abu Dhabi pada 3 September.

Ketika Kim Swee menjadi pengendali sementara selepas Dollah meletak jawatan, skuad kebangsaan sekali lagi mengalami kekalahan 6-0 kepada Palestin di Amman, Jordan pada 12 November.

“Apa yang berlaku tahun lalu boleh dikatakan fobia kepada semua pemain apabila kita berdepan pasukan dari Timur Tengah yang mana kita telah tewas dengan jumlah gol yang besar.

“Jadi kita harus menukar persepsi dan mentaliti para pemain kita di mana bukanlah untuk mengatakan yang kita boleh menewaskan mana-mana pasukan dari Timur Tengah, tapi kita perlu mempunyai sikap yang positif terutama corak permainan, disiplin dan karakter.


“Itu yang dapat ditunjukkan para pemain ketika kita sekadar tewas 2-1 kepada Arab Saudi di Shah Alam (8 September 2015) dan tewas 2-1 kepada UAE di Shah Alam (17 November 2015) di mana kita telah memberikan tentangan yang cukup baik.

“Jadi pemain harus mengubah mentaliti mereka dan saya percaya pemain-pemain dari JDT yang mempunyai pengalaman luas di peringkat Asia bersama-sama pemain lain akan dapat memberikan satu tentangan dan persembahan yang baik bertemu Arab Saudi nanti,” kata Kim Swee pada hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

Hanya tujuh pemain melapor diri iaitu tiga dari Kelantan – Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Brendan Gan, tiga dari Terengganu – Norshahrul Idlan Talaha, Yong Kuong Yong dan Joseph Kalang Tie serta seorang dari Pahang – Matthew Davies.

Empat pemain dari Selangor akan melapor diri pada Khamis ini selepas selesai tugasan Piala AFC manakala tiga pemain dari Kedah akan berbuat demikian pada Sabtu ini selesai tugasan suku akhir pertama Piala FA bertemu Sabah pada Jumaat.

Shahrul Saad dari Perak dan lapan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) pula hanya akan melapor diri pada pagi Ahad selepas beraksi untuk suku akhir pertama Piala FA pada Sabtu untuk melengkapi senarai 23 pemain yang akan terbang ke Jeddah pada petang Ahad ini.

“Saya perlu menggunakan sistem pemain melapor diri secara berperingkat ini bagi memastikan semua pemain terutama yang tidak terlibat dengan Piala AFC dan Piala FA kekal berada pada tahap kecergasan yang baik.

“Saya harus terima jadual padat ini dan hanya mempunyai empat hari persiapan di Jeddah nanti. Yang mustahak, saya perlu memastikan para pemain melakukan proses pemulihan dengan sebaiknya di mana percaturan taktikal hanya akan dilakukan di Jeddah nanti,” jelas Kim Swee.

Comments

comments

ep2p-2