Keluarga Orang Utan Dibakar Hidup-Hidup Di Indonesia

Tiga orang utan betina termasuk seekor bayi rentung di tengah Indonesia selepas terperangkap dalam satu kebakaran dipercayai dimulakan secara haram untuk membersihkan tanah pertanian, kata seorang pegawai.

Bangkai spesies terancam itu, dipercayai ibu dan dua anaknya, ditemui antara pokok yang terbakar dengan tangan mendepang dengan wajah berkerut kesakitan.

Haiwan itu ditemui di Bontang, Kalimantan, hampir dengan Taman Negara Kutai.

Seorang pegawai taman negara, Dede Hidayat, berkata pihaknya mula menyiasat selepas melihat gambar haiwan itu diedarkan di media sosial.

“Kami ke tempat kejadian kira-kira satu kilometer di luar taman negara dan menemui orang utan itu terbaring di atas tanah dalam keadaan rentung,” katanya.

Pihak berkuasa hidupan liar dan polis kini menyiasat kes itu.

Tiada siapa ditahan setakat ini, namun jika disabitkan, pesalah mungkin berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun kerana melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar.

Kumpulan alam sekitar Pusat Perlindungan Orangutan (COP) yang membantu pihak berkuasa menyiasat kes itu, percaya kebakaran dimulakan secara haram oleh petani untuk membersihkan tanah kecil untuk diusahakan. – AFP

ep2p-5small