Kami Bukan Pengecut – Kim Swee

PENYERANG Arab Saudi, Mohammed Al-Sahlawi (tengah) diapit dua PENYERANG Arab Saudi, Mohammed Al-Sahlawi (tengah) diapit dua pemain Malaysia, Safiq Rahim (kiri) dan S. Kunanlan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah, Jeddah, semalam.

KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, tindakannya me­nerapkan corak permainan bertahan sepanjang perlawanan menentang Arab Saudi semalam bukan kerana takut kepada lawan, sebaliknya dia tidak rela melihat anak-anak buahnya menjadi mang­sa belasahan.

Kim Swee berkata, berdepan dengan Arab Saudi dalam aksi terak­hir Kumpulan A bagi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah, Jeddah yang berkesudahan Mala­y­sia tewas 2-0 bukan tugas mudah.

Dia mengakui, seandainya skuad negara turun dengan permai­nan menyerang atau serangan balas, ia mungkin akan membawa binasa kepada pasukan.

“Anda semua tahu Arab Saudi adalah pasukan yang hebat. Saya beritahu anda (media Arab Saudi) lawan mempunyai pemain yang bagus. Tengok gol pertama mereka, ia diperoleh ketika kami sedang cuba melakukan serangan balas.

“Kalau kami menggunakan corak permainan mengasak kubu lawan kemungkinan kami pulang dengan dibolosi enam atau tujuh gol, namun kami sudah buat de­ngan baik malah membuatkan Arab Saudi kecewa (tidak menang besar).

“Bagaimanapun pasukan yang hebat tetap hebat. Mereka sentiasa boleh mencari jalan untuk menja­ringkan gol tapi kami berjaya memberi kesukaran kepada lawan dalam usaha mereka untuk menembusi gawang kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Jeddah.


Dalam perlawanan tersebut Arab Saudi terpaksa menunggu sehingga minit ke-50 untuk menembusi gawang skuad negara menerusi ja­ringan Mohammed Al-Sahlawi sebelum Taisir Al-Jassim meledak gol kedua ketika permainan berbaki 16 minit.

Kekalahan tersebut meletakkan skuad kendalian Kim Swee berada di tangga keempat dengan me­ngumpul empat mata dan masih berpeluang beraksi di Piala Asia 2019 seandainya melepasi pusingan kelayakan playoff, di mana cabutan undi akan dilakukan pada April ini.

Kim Swee juga menegaskan, dia optimis Malaysia mampu melangkah jauh jika diberi masa yang cukup untuk mempersiapkan pasukan.

“Kita kena tahu pemain hanya disatukan selama tiga hari.

BACA: Kim Swee puas hati prestasi Skuad harimau Malaysia

“Sebaik saja kami tiba di sini (Arab Saudi) kami hanya dapat lakukan latihan penuh selama tiga hari kerana pemain banyak beraksi bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing.

“Mendapat keputusan 2-0 de­ngan disiplin serta mentaliti tinggi…saya tidak boleh minta lebih daripada mereka.

“Saya harap, semua pemain dapat belajar sesuatu selepas bertemu dengan pasukan dari Asia Tengah seperti Arab Saudi, UAE (Emiriyah Arab Bersatu) dan Palestin,” kata Kim Swee lagi.

ep2p-5small