iPhone 6 Tiba-Tiba Terbakar, Cetus Panik Dalam Pesawat

LONDON ― Telefon popular iPhone 6 milik seorang remaja mencetuskan panik penumpang pesawat apabila ia tiba-tiba terbakar semasa dalam penerbangan ke Hawaii.

 

Anna Crail, 19, menaiki ke pesawat Alaska Airlines dari lapangan terbang Bellingham di Washington ke Hawaii untuk bercuti Khamis lalu, lapor portal The Independent di sini semalam.

 

Gadis itu berkata beliau menyangkakan pesawat itu “sedang menjunam” selepas api setinggi lapan inci mula marak dari iPhone 6 ketika beliau sedang menonton filem.

 

Dalam keadaan panik, beliau menghempaskan telefonnya ke lantai dan masuk ke bawah tempat duduk penumpang lain, lalu mencetuskan suasana kelam-kabut di atas pesawat itu.

 

Namun, anak-anak kapal bertindak pantas memadamkan kebakaran itu, ketika pesawat Alaska Airlines berada di tengah lautan, kira-kira 90 minit sebelum sampai di pulau itu.

 

“Tidak pernah lagi berasa begitu takut sepanjang hidup saya,” katanya di Twitter selepas itu.

 

Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian di atas pesawat itu yang membawa 162 penumpang.

 

Menurut portal gajet Phone Arena kelmarin, seorang lelaki Atlanta terpaksa menanggalkan seluarnya apabila telefon iPhone 6 Plus terbakar Disember lalu sewaktu berada di kawasan parkir.

 

Pada Ogos 2014, lapor portal itu lagi, seorang penumpang pesawat dari Tel-Aviv, Israel ke Prague, Republik Czech mendapati iPhone 5 miliknya mula berasap.

 

Namun, tiada masalah lanjut dikesan dan pesawat itu dibenarkan berlepas selepas tertunda sebentar.

 

Papan “hoverboard” kini diharamkan dibawa naik pesawat kerana baterinya yang bermutu rendah mudah terbakar.

 

Bateri telefon pintar biasanya lebih selamat, kecil dan mudah dikenal pasti jika ada sebarang masalah. Namun pakar menyarankan alat peranti itu dipasang dalam “mod pesawat” bagi mengelakkannya menjadi panas.

 

Apple, pengeluar iPhone, belum memberi sebarang ulasan sewaktu dihubungi The Independent dan Phone Arena. – MalayMail