Ini Cara Mahathir Didik Mukhriz Membalas 'Budi Baik' Orang?

Dilaporkan bahawa bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir sedang giat berkempen dan bertemu dengan cawangan-cawangan parti untuk menjatuhkan Presiden UMNO dari jawatan Perdana Menteri di seluruh negara.

Menjaja deklarasi bapanya dengan ‘sahabat kesayangan terkini’, Lim Kit Siang, Mukhriz mahu Dato’ Seri Najib Tun Razak digulingkan dari jawatan Perdana Menteri sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Jika dilihat pada kehendak Mukhriz itu, berasaskan deklarasi bapanya dengan Kit Siang, mereka sepakat mahu menjatuhkan Najib melalui cara yang tidak sah menurut perlembagaan persekutuan dan menyalahi amalan demokrasi di Malaysia. Dalam kata mudah, mereka mahu paksa Najib meletak jawatan segera.

Pada pandangan penulis, sekiranya Najib bertindak meletakkan jawatan seperti yang dikehendaki Mukhriz, ia adalah seperti beliau ‘memperbodohkan rakyat dan dirinya dengan menggulingkan diri sendiri’.

Faktanya, BN diberi mandat oleh rakyat Malaysia untuk mentadbir negara pada PRU ke-13 yang lalu. Majoriti rakyat tahu bahawa Najib merupakan Pengerusi BN dan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang pada pilihan raya itu.

Jadi, apabila BN menguasai majoriti undi dari 222 parlimen yang dipertandingkan, maka sekaligus membuktikan bahawa majoriti rakyat mahu Najib meneruskan jasa bakti mengetuai Kerajaan Persekutuan sebagai Perdana Menteri.

Siapa pula Mukhriz untuk menafikan amanah rakyat terhadap Najib dan memaksa beliau untuk meletak jawatan? Apakah Mukhriz sedar dirinya adalah sekadar Ketua UMNO Bahagian yang hanya mewakili satu undi saja pada pemilihan parti?

Apakah Mukhriz fikir dia kuat sangat dan mendapat sokongan padu dari UMNO Bahagian Jerlun yang dia ketuai? Apakah dia fikir dia boleh menang di Dun Ayer Hitam pada PRU ke-13 yang lalu tanpa sokongan UMNO Kedah, Dato’ Abu Hassan Sarif dan Dato’ Othman Abdul Aziz? Apakah Mukhriz fikir dia akan diberi ‘laluan mudah’ menjadi Ketua Bahagian UMNO Jerlun jika namanya bukan ‘bin Mahathir’?

Sepatutnya Mukhriz bersyukur dan berterima kasih pada UMNO dan seluruh ahlinya yang setia pada bapanya selama 22 tahun sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri. Malah sepatutnya Mukhriz tidak lupakan jasa Najib yang menyelamatkan bapanya dari ‘digulingkan’ Tengku Razaliegh Hamzah pada pemilihan UMNO 1987 dulu.

Tapi mungkin jenis Mukhriz ini adalah jenis yang tidak mengenang budi dan suka ‘tikam belakang’, maka kini dia giat memburuk-burukkan imej Najib dengan ‘fakta kosong’ dan ‘pakatan Mahathir-Kit Siang’. Mungkin itulah cara yang diajar Mahathir pada Mukhriz untuk membalas budi baik pada UMNO dan Najib.

Namun apa yang menghairankan penulis, Mukhriz tidak malu untuk terus menjadi ahli UMNO yang mengkhianati Presiden yang dipilih majoriti ahli parti. Dia tidak malu untuk bersekongkol dengan puak rasis dan penyokong LGBT seperti kakaknya.

Dia tidak pula mendesak bapanya untuk meletak jawatan ketika terpalit dengan pelbagai skandal ketika menjadi Perdana Menteri dulu. Dia tidak pula malu menjaja cerita ‘separuh masak’ dan tidak benar. Kenapa begitu? Mungkin kerana terlalu kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri?

Sehingga kini, Mukhriz enggan keluar parti seperti bapanya setelah mengkhianati Presiden UMNO dan parti. Jadi, penulis berpendapat bahawa Mukhriz selayaknya dikenakan tindakan disiplin dan dipecat keluar dari parti.

Sekiranya Mukhriz dipecat, penulis yakin dia akan mengamuk seperti budak-budak dan menuduh yang bukan-bukan pada parti. Tapi dia tidak akan menyalahkan diri sendiri dan menuding jari pada perbuatannya yang tidak beretika, biadap dan khianat pada parti. Mungkin itulah yang diajar Mahathir pada Mukhriz… – AmirHamzah/Utaranews.com

ep2p-5small