Filem ‘Ola Bola’ Pupuk Perpaduan, Tak Perlu Saman Menyaman – Bekas Pemain

KOTA KINABALU — Bekas pemain bola sepak negara, Hassan Sani berkata tiada keperluan menyaman pihak produksi Ola Bola kerana filem itu memupuk perpaduan negara.

 

Hassan, 58, berkata meskipun kecewa dengan fakta yang diubah pihak produksi namun konsep fiksyen dalam filem berkenaan juga perlu diambil kira.

 

“Ia hanya satu filem yang diinspirasikan menerusi kejayaan kami membawa skuad negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.

 

“Bagi saya, tidak payahlah saman menyaman ini. Filem itu bagus dan sudah menaikkan semangat masyarakat khususnya dalam konteks perpaduan,” katanya kepada Berita Harian.

 

Hujung bulan lalu, bekas pemain negara, Khalid Ali yang turut berada dalam pasukan sama mengugut menyaman Ola Bola atas dakwaan filem popular itu menukar fakta.

 

Khalid berkata tindakan undang-undang akan dibuat terhadap penerbit filem itu, yang mengaut kutipan belasan juta ringgit, selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa bekas pemain.

 

“Mana boleh fakta sejarah ditukar sewenang-wenangnya. Contohnya watak Ali (dalam filem) adalah saya dan dalam filem itu saya menjaringkan gol kemenangan,” katanya kepada Harian Metro.

 

“Walhal bukan saya, tetapi James Wong serta kita menang dengan 2-1 bukannya lain daripada itu. Mereka mesti menghormati sejarah dan perlu bertanggungjawab ke atasnya.”

 

Hassan berkata meskipun beberapa babak dalam filem itu tidak menceritakan kisah benar, namun penonton masih mendapat gambaran perjuangan mereka ketika itu.

 

“Dalam filem itu ada juga fakta yang betul seperti kami menaiki helikopter dan beberapa lagi, namun secara jujur saya sedikit kecewa dengan fakta yang diubah.

 

“Sepatutnya 2-1 tetapi mereka buat 3-2, namun sekali lagi saya tegaskan ini hanya filem,” beliau dilaporkan berkata. – MalayMail