PULAU PINANG – Pemain tengah skuad Harimau Kumbang, Mohd. Faiz Subri yang meraih perhatian antarabangsa mendedahkan dia mengimpikan peluang untuk beraksi dengan kelab luar negara sebelum menamatkan karier bola sepaknya.

Menjadikan bintang JDT, Safee Sali yang pernah berkelana di Indonesia selama beberapa musim sebagai contoh, Mohd. Faiz berkata dia bersedia untuk menyahut cabaran baharu dalam kariernya.

“Sekiranya ada peluang sudah pasti saya tidak akan lepaskan kerana selain Safee, ada beberapa lagi pemain kita pernah beraksi dengan pasukan luar negara,” kata pemain yang berasal dari Kedah itu.


Dia berkata demikian selepas menerima Anugerah Pemain Terbaik Februari anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Faiz yang merupakan peminat Manchester United berkata, dia juga sedia menimbangkan tawaran daripada pasukan lain dalam Liga Malaysia.

“Bagaimanapun, ketika ini tumpuan saya untuk Pulau Pinang malah kami dalam misi untuk mencatatkan keputusan positif menjelang pertemuan dengan Kelantan di Kota Bharu pada 13 Mac ini,” katanya.

Berhubung kecederaan tumit kanan yang dialaminya dua minggu lalu, bekas pemain Terengganu itu memaklumkan dia sudah pulih dan telah menjalani latihan seperti biasa.

Comments

comments