DBKL Berjaya Kurangkan 50 Peratus Iklan Haram

Hampir 50 peratus iklan haram di sekitar ibu negara berjaya dikurangkan menerusi operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memerangi kegiatan itu setakat ini.

Pengarah Eksekutif Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata dalam operasi yang dilakukan kelmarin para pegawai penguatkuasa telah menurunkan 5,233 iklan haram berbanding 11,021 iklan haram yang diturunkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini merupakan satu petanda baik kerana kami telah mencatatkan penurunan hampir 50 peratus jika dibandingkan dengan angka pada tahun lepas,” katanya.

Mohd Sauffi berkata operasi khas pertama dan secara besar-besaran itu yang dilaksanakan pada tahun ini melibatkan 11 Parlimen iaitu Wangsa Maju, Setiawangsa, Kepong, Batu, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Segambut dan Bandar Tun Razak.

Statistik menunjukkan bahawa bahagian penguatkuasa DBKL telah menurunkan sejumlah 1.45 juta iklan haram di sekitar ibu negara dalam tempoh setahun dari Januari 2015 hingga Februari 2016.

Susulan itu 603 kompaun telah dikeluarkan ke atas pihak-pihak yang terlibat, manakala 1,239 nombor telefon yang tertera pada iklan-iklan haram itu telah ditamatkan perkhidmatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pihak yang menampal dan menggantung iklan haram boleh didakwa di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Undang-Undang Kecil Vandalisme (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1991. – BERNAMA

ep2p-5small