Android N Mempunyai Mod Aplikasi Tetingkap Seperti Samsung TouchWiz

Android N masih di dalam proses pembangunan tetapi pengguna boleh memuat turun versi awal sistem operasi ini untuk diuji. Antara inovasi baru yang diperlihatkan ialah sokongan multi window secara natif oleh Android. Fungsi ini kali pertama wujud pada peranti Android pada Samsung Galaxy Note menerusi pelancar TouchWiz mereka.

Kepada mereka yang gemar melakukan dua tugasan serentak, fungsi multi window ini akan mempercepatkan proses melakukan kerja pada peranti Samsung. Fungsi ini kemudian muncul pada peranti LG dan Huawei. Android M pada awalnya menunjukkan fungsi ini tetapi ianya tidak diaktifkan kerana masih belum sempurna.

Anroid-N-tetingkap-Pop-OutAndroid N nampaknya akan mengambil sebuah lagi fungsi yang sebelum ini wujud pada peranti TouchWiz dan Sony iaitu aplikasi muncul di dalam tetingkap kecil yang terapung pada skrin. Pada TouchWiz ia diberi nama Pop Up Window manakala pada peranti Xperia ia diberi nama Small Apps. Ini membolehkan lebih daripada dua aplikasi dipaparkan serentak pada skrin peranti Android. Fungsi rahsia ini ditemui oleh Arstechnica dan menyerupai apa yang dilakukan oleh Samsung. Setiap tetingkap yang terapung boleh diubah kedudukan dan saiznya.

Ini menjadikan Android N mempunyai kemampuan seperti sebuah sistem operasi Windows. Ini mungkin sebahagian strategi Google untuk menghasilkan sistem operasi mudah alih yang juga boleh berfungsi sebagi sistem operasi komputer. Seperti yang kami laporkan tahun lalu. Google mempunyai perancangan untuk menggabungkan Android dan Chrome OS menjadi sebuah sistem operasi universal untuk kesemua peranti buatan mereka.