Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester terus mengejutkan dunia apabila mengikat anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefri Bolkiah menerusi kontrak selama tiga tahun.

Pemain berusia 17 tahun itu pernah bersama Arsenal selain Reading dan kini merupakan pemain utama skuad bawah 18 tahun (B-18) Chelsea sejak mula bersama The Blues bermula pada 2014.

Faiq Jefri menerusi laman Insta­gram miliknya memberitahu, dia gembira apabila diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menyertai Leicester selain teruja kerana berpeluang bertemu pemilik kelab itu, Vichai Srivaddhanaprabha sendiri.

“Saya gembira untuk mengumumkan saya sudah mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Leicester.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga serta sahabat terdekat atas sokongan penuh mereka selama ini,” katanya.

Berita mengenai perpindahan anak saudara Sultan Brunei bersama skuad The Foxes mendapat liputan meluas akhbar-akhbar utama antarabangsa.

Difahamkan, pencari bakat Leicester telah pun memantau perkembangan Faiq untuk jangka masa yang lama dan melihat dia mempunyai masa depan cerah dengan skuad utama The Foxes.

Faiq Jefri yang beraksi di bahagian sayap pernah menjadi kapten skuad bawah 23 (B-23) Brunei di Sukan SEA Singapura 2015 dan sering menjadi pilihan dalam kesebelasan utama B-18 Chelsea.

Bagaimanapun, Faiq Jefri akan hanya meninggalkan The Blues dan mula beraksi di Stadium King Po­wer bersama skuad utama bermula musim depan.

Comments

comments