VIDEO Nyanyian ‘Seladang Patah Tanduk’ Buat Penyokong Perak ‘Panas’

IPOH – Nyanyian ‘Seladang patah tanduk’ oleh penyokong Se­langor yang mengejek kekalahan 0-1 Perak kepada pasukan pelawat dalam perlawanan Liga Super di sini menjadi punca kekecohan penyokong kedua-dua pasukan kelmarin.

Kekecohan yang berlaku di luar stadium selepas perlawanan menyebabkan seorang anggota polis dan dua penyokong Selangor cedera di kepala dipercayai kerana ter­kena objek keras yang dibaling oleh penyokong.

Mereka yang cedera dirawat oleh pasukan perubatan di stadium dan dilihat pulang menaiki bas penyokong Selangor, manakala anggota polis yang cedera dirawat di dalam ambulans yang disediakan di luar stadium.


Seorang penyokong yang menyaksikan kejadian memberitahu, pada awalnya keadaan agak tenang apabila penyokong kedua-dua pasukan bergerak keluar stadium setelah perlawanan berakhir.

Namun, katanya, keadaan menjadi tegang apabila penyokong Se­langor menyanyikan ‘Seladang patah tanduk’ sambil memalu gendang.

“Ini menyebabkan penyokong Perak berang sehingga berlakunya insiden membaling objek,” katanya.

Kekecohan berjaya diredakan oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di lokasi kekecohan untuk memastikan semua penyokong Sela­ngor menaiki bas dengan selamat. Keada­an berjaya dikawal sepenuhnya pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

IMG-20160217-WA0002Tambah penyokong berkenaan, kekecohan tidak sepatutnya berlaku kerana walaupun kecewa, penyokong Perak tenang menerima keputusan perlawanan.

“Kekecohan ini bukan disebabkan Perak kalah tetapi penyokong marah kerana diejek,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohd. Nor Rasid mengesahkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah cedera cuping telinga kiri akibat terkena objek keras yang dibaling ketika kekecohan tersebut.