Ulasan Huawei Mate S – Huawei Best Wei

Huawei Mate SPeranti dari tanah besar China dahulunya sering dikaitkan dengan tiga perkara iaitu harga yang mampu milik, spesifikasi rendah dan kualiti binaan plastik. Apabila ia memasuki pasaran tempatan sambutan terhadap peranti tanah besar China ini adalah agak dingin kerana prejudis pengguna tempatan. Tetapi sejak 2014 sedikit demi sedikit kami mula melihat penerimaan pengguna yang semakin baik.

Peranti berjenama China kini dianggap alternatif yang baik kepada jenama lebih ternama seperti Samsung dan HTC. Dengan Mate S, Huawei memasuki pasaran baru iaitu peranti premium pada harga melangkaui RM 2000. Adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki dan adakah ia setanding dengan peranti-peranti berjenama lebih gah? Ulasan ini akan cuba merungkai persoalan ini.

Spesifikasi

Huawei Mate S
Skrin 5.5″ AMOLED FHD (401 ppi)
Pemproses 2.2 x 4 + 1.5 x 4 GHz HiSilicon Kirin 935
GPU Mali-T628 MP4
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 OIS
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Bateri 2700 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2698

Huawei Mate S ialah jawapan Huawei kepada Samsung Galaxy S6, Xperia Z5 dan HTC One M9+. Seperti ketiga-tiga peranti yang disebutkan tadi, Mate S mempunyai rekaan premium logam. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam dan mengingatkan kami kepada rekaan HTC One M9+. Panel belakang adalah melengkung bagi membuatkannya selesa dipegang di dalam tangan. Sebuah pengimbas cap jari berbentuk empat segi disertakan.

Panel bahagian hadapan terdapat skrin sebesar 5.5″ AMOLED FHD dengan kaca 2.5D. Dengan penggunaan kaca 2.5D ini, pergerakan jari dari skrin ke sisi peranti menjadi lebih selesa. Mate S tidak mempunyai butang navigasi kapasitif. Kesemua butang navigasi terpapar di atas skrin. Tidak seperti model global, Mate S tempatan tidak disertakan dengan teknologi Force Touch yang membolehkannya mengesan tekanan pada skrin seperti sebuah iPhone 6S.

Ia diperkasakan pemproses HiSilicon Kirin 935 yang dikatakan dapat mencabar kemampuan Exynos 7420 dan Snapdragon 810. Pemproses lapan teras ini digabungkan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 64 Gigabyte. Memori dalaman boleh ditambah sehingga 128 Gigabyte menggunakan kad MikroSD. Kemampuan optik pula ialah kamera utama 13 Megapixel f/2.0 dengan OIS dan kamera hadapan sebesar 8 Megapixel f/2.4. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi tertinggi 4K. Akhir sekali bateri sebesar 2700 mAh digunakan dan ianya menyokong pengecasan pantas QuickCharge 2.0. Ini ialah sebuah peranti berprestasi tinggi dengan rekaan premium.

Rekaan

Kemasan logam pada panel belakang adalah matte dan tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Lensa kamera terkeluar sedikit dari tubuh peranti dan anda harus berhati-hati apabila meletakkannya di atas permukaan meja. Pada sisi kana terdapat butang kawalan suara dan juga kuasa. Kedua-dua butang diperbuat daripada logam dan binaannya tegap. Butang amat sedap ditekan dan tidak menunjukkan sebarang kelonggaran. Pada panel sebelah kiri pula terdapat slot untuk talam SIM dan kad MikroSD. Talam ini memerlukan jarum untuk dikeluarkan. Apabila dibuka pengguna boleh melihat dua slot SIM Nano. Talam SIM Nano kedua turut berkongsi dengan slot kad MikroSD. Ini bermakna anda tidak boleh menggunakan dua SIM dan sebuah kad MikroSD secara serentak.

Bicu audio 3.5mm terletak di bahagian atas manakala slot pengecasan MikroUSB serta pembesar suara terletak di bahagian bawah. Terdapat dua kekisi audio pada bahagian bawah peranti tetapi hanya kekisi pada sebelah kanan mempunyai pembesar suara. Ya Mate S hanya dilengkapi pembesar suara mono dan kekisi audio pada sebelah kiri hanya sekadar hiasan. Kepada yang gemarkan lampu notifikasi LED, berita baik buat anda kerana Mate S menyokong sistem notifikasi lampu LED.

Secara keseluruhan Mate S ialah sebuah peranti yang bukan sahaja mempunyai rekaan premium, menarik untuk dilihat tetapi pada waktu yang sama masih lagi selesa untuk dipegang dengan sebelah tangan. Panel belakang yang melengkung dan sedikit kasar memastikan peranti tidak mudah terlepas dari genggaman pengguna. Penggunaan pengimbas cap jari pada panel belakang juga kami rasakan adalah amat mesra pengguna. Peranti boleh dinyahkunci dengan pantas walaupun masih di dalam poket. Tidak mengejutkan semakin banyak peranti Android menggunakan rekaan pengimbas cap jari pada panel belakang kerana jelas ia adalah lokasi yang terbaik. Kami sudah menggunakan beberapa peranti dengan pengimbas cap jari pada panel bahagian dagu (Galaxy S6 dan One M9+) dan secara peribadi kami mendapati sukar untuk menyahkunci peranti dengan sebelah tangan tanpa jari melakukan aksi akrobatik menyentuh

 

Penggunaan Dan Antaramuka Peranti

Android 5.1.1 digunakan dengan pelancar EMUI 3.1. Mate S ialah antara peranti yang tersenarai untuk menerima Android Marshmallow kelak. Dari segi rekaan EMUI bukanlah pelancar dengan antaramuka paling menarik. Ia sedikit ketinggalan zaman dan masih mengekalkan estetik zaman Android Ice Cream Sandwich. Kami sudah menggunakan peranti dengan Android Marshmallow dan apabila kembali ke rekaan antaramuka “lama” ini kekuranganya jelas kelihatan. Rekaan ikon berkotak tidak kelihatan menarik dan begitu juga dengan pilihan warna elemen antaramuka. Ianya kusam jika dibandingkan dengan apa yang digunakan pada Android Vanilla, Sense dan TouchWiz. Antaramuka yang cantik sebenarnya adalah antara sebab mengapa peranti dipilih oleh pengguna. Oktober tahun lalu Huawei melantik Abigail Sarah Brody, bekas pereka UX Apple untuk iOS dan Mac OS bagi memperbaiki rekaan EMUI. Diharap dengan bantuan beliau antramuka EMUI akan lebih setanding dengan pesaing.

Huawei-Mate-S-UI-1 Huawei-Mate-S-UI-2Huawei-Mate-S-UI-3

Sungguhpun rekaan mungkin tidak menarik, ianya masih lagi antaramuka yang agak lancar. Terdapat juga banyak fungsi tambahan yang tidak boleh ditemui pada Android Vanilla. Sebagai contoh terdapat sokongan fungsi sebelah tangan. Paparan skrin mengecil menjadi sebesar 4″ dan ini memudahkan pengguna menyentuh kesemua elemen pada skrin. Mod ini boleh diaktifkan dengan mentatal jari ke kiri ataupun ke kanak dari butang home.

Selain daripada itu wujud juga sokongan pergerakan jari. Aplikasi kamera boleh dilancarkan pantas dengan melukis huru “C” pada skrin yang tertutup. Gambar skrin boleh diambil dengan menekan skrin sebanyak dua kali dengan pantas. Video paparan skrin juga boleh diambil dengan menekan butang suara atas dan kuasa serentak. Setahu kami hanya Mate S dan peranti Xperia Z3 (dan ke atas) mempunyai fungsi seperti ini.

Elemen butang navigasi juga boleh disusun mengikut kehendak pengguna. Empat butang navigasi boleh diletakkan pada bahagian bawah skrin. Ini membolehkan butang back diletakkan pada sebelah kiri atau kanan butang home oleh pengguna. Akhir sekali fungsi Multi Window juga disertakan dan diaktifkan dengan menekan butang multi tasking selama beberapa saat. Buat masa ini hanya beberapa aplikasi terbina EMUI boleh menggunakan fungsi ini.

Huawei-Mate-S-UI-5

Pengimbas Cap Jari

huawei mate S Huawei-Mate-SP_20160217_154945-650x488Pengimbas cap jari pada panel belakang Mate S ialah dari jenis statik seperti yang dilihat pada Nexus 6P. Ia aktif sepanjang masa dan tidak perlu ditekan untuk diaktifkan. Ia mengimbas jari dengan sepantas kilat dan sepanjang tempoh ulasan berjaya mengesan jari kami dengan tepat setiap kali digunakan. Selain mengimbas jari, ia turut boleh digunakan sebagai butang mengambil gambar. Lancarkan aplikasi kamera dan gambar akan diambil apabila jari diletakkan ada pengimbas. Ini amat berguna apabila mengambil gambar selfie.

Ia turut boleh digunakan untuk melakukan tatalan skrin. Namun buat masa ini aplikasi yang menyokong mod ini hanyalah aplikasi galeri Huawei dan menurunkan talan notifikasi. Di dalam kes talam notifikasi, kesemua notifikasi boleh dibuang dengan menekan pengimbas cap jari sebanyak dua kali. Dua perkara lagi yang boleh dilakukan dengan pengimbas cap jari ialah mematikan penggera dan menjawab telefon. Pengimbas cap jari pada Mate S mempunyai banyak fungsi tambahan yang tidak kami temui pada peranti lain. Kesemua fungsi ini mungkin boleh digunakan pada peranti lain bagi memudahkan pengguna di masa hadapan.

 

Kamera

Kamera 13 Megapixel f/2.0 dengan OIS digunakan pada bahagian belakang dan 8 Megapixel f/2.4 pada bahagian hadapan. Pada tetapan tertinggi 13 Megapixel, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk gambar 16:9 resolusi perlu diturunkan ke 10 Megapixel. Dari segi kemampuan video pula, Mate S hanya mampu mengambil video pada resolusi maksimum 1080P.

Antaramuka kamera adalah mudah digunakan. Terdapat mod manual bagi mereka yang memerlukan kawalan lebih mendalam ketika gambar diambil. Terdapat sembilan pra-tetapan disertakan iaitu Panorama, Bright Light, HDR, Pro Camera, All Focus, Best Photo, Watermark, Audio Note dan Document Readjustment. Kesemuanya membantu mempercepatkan proses mengambil gambar. Sebagai contoh All Focus membolehkan gambar difokuskan semula selepas diambil.

Huawei-Mate-S-Camera-UI

Resolusi kamera yang digunakan mungkin tidak besar tetapi kualiti gambar yang diambil adalah amat baik. Gambar yang diambil terang, tajam dan menghasilkan warna dengan tepat seperti objek asal. Pada keadaan terang perisian kamera memastikan tiada kawasan yang mengalami dedahan berlebihan. Pada situasi pencahayaan rendah masalah noise boleh dilihat tetapi masalah blooming pada sumber cahaya tidak pula disedari. Kesemua gambar diambil menggunakan mod automatik dan hasilnya cukup memuaskan bagi seorang pengguna yang tidak berapa mahir menggunakan kamera.

huawei mate S IMG_20160216_143723

Huawei Mate S IMG_20151130_105523     huawei mate S IMG_20160216_144154Huawei Mate S IMG_20151222_174758huawei mate S IMG_20160218_173453huawei mate S IMG_20160216_143203

Video

Kualiti gambar statik adalah memuaskan tetapi rakaman video adalah mengecewakan. Sistem OIS yang digunakan tidak lancar. Seperti di dalam video di bawah setiap kali kamera bergerak sistem OIS menstabilkan gambar secara tidak sekata. Kesan rolling shutter juga boleh dilihat.