Tidak Mahu Terlibat, Najib Dan Zahid Keluar Ketika Mesyuarat UMNO

Kuala Lumpur – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan penggantungan jawtaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti itu adalah demi mengukuhkan perjalanan pilihanraya umum ke-14 (PRU14) nanti.

 

Annuar turut menyifatkan Muhyiddin sebagai gagal melaksanakan amanah yang telah diberikan sebelum ini.

 

“Ini adalah demi mengukuhkan persiapan PRU14. Untuk sampai ke PRU14, sebagai sebuah parti yang bekerja, kita ada kerja yang hendak dibuat jadi bagaimana kalau kita ada jawatan namun tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan itu.

 

“Kerana kita mahu meneruskan tugas kita kepada rakyat dan kita hendak capai keputusan, maka terpaksa berbincang berjam-jam. Semua diberikan peluang bercakap dan keputusan dibuat secara ‘concenses’ (sepakat),” katanya ketika ditemui sejurus selepas mesyuarat itu diadakan sebentar tadi.

 

Menurut Annuar lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak mahu mengambil bahagian ketika keputusan itu dilakukan.

 

“Presiden tak mahu terlibat dalam perbincangan. Datuk Zahid pun tak nak terlibat dalam perbincangan dia pun keluar, dan kami berbincang sesama kami, semua orang bercakap dari hati ke hati.

 

“Keputusan itu tidak dibuat oleh keduanya, (Presiden dan Timbalan Presiden tak mengambil bahagian) dan keduanya meninggalkan mesyuarat,” ujarnya lagi.

 

Terdahulu Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat petang sebentar tadi bersetuju dengan sebulat suara untuk mengantung jawatan Muhyiddin.- SuaraTV