SKUAD HARIMAU MALAYSIA KE JEDDAH 20 MAC

ong kim sweeSkuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee akan berkumpul untuk latihan pusat pada 20 Mac ini dan terus berlepas ke Jeddah pada hari yang sama untuk menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi di Stadium King Abdullah, Jeddah pada 24 Mac ini.

Cadangan awal Kim Swee untuk memanggil kesemua pemain lebih awal iaitu pada 13 Mac, sehari selepas perlawanan kelima Liga Super tidak dapat dilakukan memandangkan pasukan Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menghadapi perlawanan Piala AFC 2016 pada 15 dan 16 Mac disusuli perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2016 pada 18 dan 19 Mac.

 “Memandangkan ada perlawanan Piala AFC dan suku akhir pertama Piala FA, saya hanya dapat memanggil kesemua pemain pada 20 Mac, iaitu empat hari sebelum perlawanan menentang Arab Saudi.

 “Jadi pemain perlu melapor diri pada sebelah pagi 20 Mac dan kami akan terus berlepas ke Jeddah pada sebelah petang hari yang sama supaya kami dapat mengadakan tiga hari latihan di Jeddah pada Isnin, Selasa dan Rabu sebelum turun beraksi pada Khamis.

 “Bagaimanapun mana-mana pemain yang tersenarai dalam panggilan skuad kebangsaan tetapi pasukan kelab mereka tidak beraksi pada perlawanan Piala AFC dan suku akhir pertama Piala FA, saya akan panggil mereka untuk melapor diri lebih awal iaitu pada 14 Mac,” kata Kim Swee kepada www.fam.org.my, hari ini.

 Pengendali berusia 46 tahun itu turut memberitahu bahawa senarai pemain untuk panggilan skuad kebangsaan itu akan dikeluarkan pada 13 Mac iaitu sehari selepas perlawanan kelima Liga Super supaya beliau dapat meneliti jika terdapat pemain yang tercedera pada hari perlawanan berkenaan.

 “Saya akan panggil seramai 23 pemain dan menamakan beberapa pemain untuk senarai menunggu,” jelas Kim Swee.

 Selepas kembali dari Jeddah pada 25 Mac, skuad Harimau Malaysia akan menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada 29 Mac, namun masih menunggu pengesahan pasukan lawan.

 “Kita sudah menghubungi tiga hingga empat pasukan dan masih menunggu maklum balas daripada mereka dalam minggu ini sebelum dimuktamadkan,” ujar Kim Swee.

 Ini merupakan panggilan sulung skuad Harimau Malaysia sejak Kim Swee dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan pada 18 Januari lalu dan skuad kebangsaan menggunakan nama gelaran baharu Harimau Malaysia yang diumumkan pada 2 Februari lalu.

Comments

comments

ep2p-2