Saya Akan Bertanding Di Mambong Bukan Serumbu – Datuk Dr Jerip Susil

Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil menafikan khabar angin bahawa beliau akan bertanding di kerusi baharu Serumbu, dan bukan Mambong pada pilihan raya umum negeri Sarawak ke-11.

Khabar angin itu dicetuskan oleh sesetengah pihak yang melobi keras untuk menawan Mambong sebagai sebahagian daripada kerusi mereka.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya akan bertanding di Mambong dan bukan Serumbu,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan rumah yang dibina di bawah Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan, yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein di Kampung Sikog di Jalan Puncak Borneo.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bengoh itu berkata, beliau dilihat berada di Mambong dan Serumbu selama ini kerana beliau berkhidmat di kedua-dua kawasan itu yang terletak di bawah kawasan pilihan raya Bengoh.

“Itulah sebab mengapa mereka (sesetengah pihak) berpendapat saya akan bertanding di Serumbu, kerana saya berkhidmat di kedua-dua kawasan tetapi saya telah menjelaskan bahawa apabila kerusi baharu (Serumbu) dipertandingkan, maka adalah lebih baik seorang anak tempatan bertanding di sana,” kata beliau.

Jerip yang juga timbalan presien Parti Rakyat Bersatu (UPP) berkata, ada ramai pemimpin tempatan di Serumbu yang berdedikasi, berpengalaman dan berjiwa rakyat.

“Justeru, adalah lebih baik jika Serumbu diwakili oleh seorang pemimpin tempatan di sana,” kata Jerip yang berasal dari Kampung Karu yang terletak dalam kawasan Mambong.

Media tempatan melaporkan bahawa Parti Rakyat Sarawak (PRS) sedang melobi untuk kerusi Mambong, dan presiden parti Tan Sri Dr James Masing Jemut berkata partinya terbuka kepada tawaran itu. – Bernama

ep2p-2