Rakyat Kedah dijangka tahu pasal MB Baru Hari Ini.

Rakyat di seluruh negeri Kedah dijangka bakal mendapat Menteri Besar yang baru selewatnya hari ini. Berita tersebut tersebar ekoran terdapat satu dakwaan, yang menyatakan Pihak Istana Kedah telah bersetuju untuk menukar dan menggantikan tempat Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Berita yang sudah diketahui, namun cuma menunggu kepastian ini didedahkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang enggan namanya didedahkan. Pada pagi ini dijangka satu perjumpaan bersama Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan diadakan bersama kesemua 21 ADUN Barisan Nasional (BN) bertempat di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Tambah sumber itu lagi,  Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut dikhabarkan sudah berkenan dan bersetuju dengan senarai nama calon yang bakal menggantikan tempat Mukhriz sekarang ini. Senarai calon tersebut dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadap di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan pada 29 Januari lalu.

“Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah berkenan untuk menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun hanya akan memutuskan perkara tersebut setelah mengadakan pertemuan tertutup dengan kesemua ADUN BN bagi mendengar sendiri pengakuan.

“Sekiranya Menteri Besar yang baharu dilantik, Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah mahu agar kesemua atau sekurang 8 orang Exco yang ada dikekalkan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar,” kata sumber itu.

Bagi menguatkan lagi kenyataan yang disuarakan sumber, dia mendakwa bahawa perkara tersebut sudah pun dijangka pada awalnya dan telah dihebahkan oleh  Najib dalam satu perjumpaan tertutup bersama beberapa orang ADUN BN di rumahnya di Jalan Langgak Duta, petang semalam.

Dalam pertemuan tertutup bersama Najib semalam, kesemua Adun yang terlibat mencadangkan supaya majlis angkat sumpah diadakan selewat-lewatnya Rabu ini.

“Dalam pertemuan tersebut, semua ADUN yang hadir meminta Perdana Menteri memohon perkenan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk mengadakan majlis angkat sumpah selewat-lewatnya hari Rabu, sebelum Mesyuarat EXCO diadakan.

“Manakala Perdana Menteri (Najib) dalam pertemuan tersebut turut meminta kesemua ADUN Kedah menerima siapa sahaja calon yang dilantik oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Menteri Besar,” ujar sumber itu.

Hari ini, Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan memutuskan siapa yang bakal menggantikan Mukhriz. Manakala Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga berkenan untuk mengadakan perjumpaan secara peribadi dengan Mukhriz.

Walaupun Mukhriz mendakwa bahawa dia tidak akan turut serta dalam perjumpaan yang akan dibuat di Wisma Darul Aman itu. Namun pastinya itu hanya satu kenyataan yang hanya mahu diputar belitkan, kerana Mukhriz telah pun ada di Kedah selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah, semalam. – TiraGomez/UTaraNews.com

ep2p-2