Piala FA: JDT yakin jinakkan UiTM

Mohd. AIDIL ZAFUAN ABD. RADZAK (dua dari kiri) tetap menghormati KUALA LUMPUR – Dalam kempen Piala FA musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) terkandas seawal pusingan kedua apabila dikecewakan Pahang menerusi penentuan sepakan penalti namun tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abd. Radzak percaya JDT mampu melangkah lebih jauh pada musim ini.

Laluan dalam pusingan kedua kali ini tampak lebih mudah untuk juara Piala AFC itu apabila diundi bertemu Universiti Teknologi MARA FC (UiTM FC), namun walaupun dia yakin JDT mampu melepasi halangan itu namun Aidil menegaskan pasukannya tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan daripada Liga Perdana itu apatah lagi mereka kini sedang berada di prestasi memberangsangkan.

Tambah pemain pertahanan tengah itu, Harimau Selatan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi kalah mati di Stadium UiTM, Shah Alam dan walaupun perlawanan itu berlangsung pada sebelah petang namun tidak boleh dijadikan alasan untuk pasukannya gagal menampilkan aksi terbaik.


“Mereka pastinya akan bermain dengan agresif kerana turut mahukan kemenangan dan mahu membuktikan mereka juga sebuah pasukan yang bagus, malah UiTM kini berada dalam prestasi terbaik dan merupakan pendahulu Liga Perdana selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut.

“Jadi kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka. Kami perlu memenangi perlawanan ini untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya dan tidak pernah mengambil mudah terhadap setiap pasukan yang bakal dihadapi.

“Kemenangan ke atas Terengganu FC II (TFC II) Selasa lalu menjadi suntikan semangat kepada pasukan untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Benar… kami banyak beraksi pada waktu malam dan jarang sekali bermain sebelah petang namun itu bukan alasan untuk tidak memberi aksi yang terbaik kerana kami juga menjalani latihan di waktu petang walaupun itu satu situasi berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.


Sementara itu, juara Piala Malaysia, Selangor juga dilihat berdepan lalu mudah untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga apabila bertemu pasukan AirAsia All-Star manakala Kedah juga dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Megah Murni FC.

Namun nasib berbeza bagi dua pasukan abang dan adik Terengganu dan TFC II yang bakal berdepan laluan getir apabila bertandang ke laman lawan masing-masing bertemu PKNS FC dan Pahang yang dilihat keempat-empat pasukan mahu mengubati kekecewaan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan liga.

Tiga lagi aksi pusingan kedua Piala FA hari ini membabitkan Perlis melayan kunjungan pasukan Liga FAM, Felcra FC, DRB-Hicom bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sime Darby melayan kunjungan JDT II.

Sumber Utusan

ep2p-2