Pelajar ILP Maut Akibat Terlanggar Kereta Rosak Di Tepi Lebuhraya

Seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak, Johor, maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 269.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Dalam kejadian itu, Muhammad Naimullah Ahmad Zulkepli, 24, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari Shah Alam, Selangor ke Tangkak, terlanggar sebuah kenderaan rosak di laluan kecemasan.

Katanya, mangsa kemudian tercampak di sebelah kiri jalan sebelum dilanggar sebuah trak tentera yang gagal mengelak kemalangan itu.

“Bagaimanapun, pemandu kereta iaitu seorang tentera berusia 37 tahun dan pemandu trak tentera berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Muhammad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ep2p-5small