MWC 2016 : Xiaomi Mi 5 – Spesifikasi Tinggi, Rekaan Menarik, Berharga Rendah

Pada hari ketiga acara Mobile World Congress hari ini, Xiaomi telah mencuri perhatian media antarabangsa, dengan membuat kemunculan buat pertama kalinya di Eropah, dan mengumumkan produk Xiaomi Mi 5 mereka. Walaupun diumumkan di MWC, namun, peranti berkenaan kelak akan memasuki pasaran China dan India terlebih dahulu, sebelum ditawarkan untuk pengguna di negara-negara lain yang mempunyai kehadiran Xiaomi.

Xiaomi Mi 5


Rekaan Dan Spesifikasi

Xiaomi Mi 5 merupakan telefon pintar flagship terkini daripada mereka, dan hadir setelah melangkaui tempoh lebih setahun sejak Xiaomi Mi 4 diperkenalkan. Dari segi rekaan, Xiaomi Mi 5 membawakan elemen rekaan seumpama daripada keluarga Mi Note sebelum ini, tetapi rekaannya kini tampak lebih menarik untuk dipegang pada tangan. Mungkin skrinnya yang bersaiz 5.2-inci menyumbang kepada perkara ini, selain rekaan tepi kerangka belakang yang lebih melengkung berbanding dengan Mi Note sebelum ini.

Xiaomi Mi 5

Xiaomi telah memasarkan peranti mereka dengan teaser mengatakan peranti mereka sebagai “Laju”. Ini dijayakan dengan penggunaan memori sehingga 4GB RAM, Snapdragon 820, dan juga ruangan storan berasaskan kepada UFS 2.0.

Xiaomi mi 5
Skrin 5.2-inci
Pemproses Snapdragon 820
Memori/Storan 3GB RAM / 32GB
4GB RAM / 128GB
Kamera Belakang 16MP PDAF OIS
Kamera Hadapan 4-megapixel
Rangkaian Dwi-SIM LTE
Sistem MIUI7 / Android 6.0
Bateri 3000mAh

Bercakap mengenai rekaan, ini adalah pertama kali pihak Xiaomi menyertakan butang fizikal untuk Home pada peranti mereka. Butang Home pada Xiaomi Mi 5 turut disertakan dengan sokongan pengimbas cap jari. Seperti biasa, pengguna perlu membuat tetapan cap jari mereka untuk log masuk, dan daripada percubaan kasar, ia dilihat dapat log masuk ke peranti dengan serta-merta tanpa sebarang lengah masa.

Satu lagi perubahan yang dilakukan oleh Xiaomi berbanding dengan flagship mereka tahun lepas adalah penggunaan port pengecasan berasaskan USB Type-C pada telefon pintar mereka. Xiaomi sebelum ini telah hadir dengan telefon berasaskan USB Type-C, dan mungkin selepas ini, kita akan melihat Xiaomi mula menggunakannya secara meluas pada semua produk mereka.

Xiaomi Mi 5 membawakan rekaan unibody, bermakna pengguna tidak boleh membuka ruangan belakang untuk mengakses bateri. Ruangan kad-SIM diposisikan pada bahagian kiri peranti, membolehkan anda menggunakan dua SIM pada saiz nano. Kedua-dua ruangan SIM juga menyokong rangkaain 4G. Peranti Xiaomi sebelum-sebelum ini tidak menyertakan sokongan mikro-SD, dan perkara sama dikekalkan pada Xiaomi Mi 5.

Pada bahagian kanan peranti, butang kawalan audio disertakan, dan pada bahagian atas peranti pula, selain daripada sokongan audio-jack, pihak Xiaomi turut menyertakan fungsi infra-merah untuk memudahkan pengguna mengawal peralatan elektronik seperti televisyen, penghawa dingin dan sebagainya.

Xiaomi Mi 5 juga turut mengembalikan sokongan NFC padanya – dimana buat masa ini, bukan sekadar untuk membaca sahaja, malah ia turut boleh menulis pada kad NFC. Daripada demo yang dipertontonkan, Xiaomi memperlihatkan pengguna boleh menambah-nilai untuk kad prabayar (seperti Touch=n-Go) menggunakan telefon pintar mereka, dan seterusnya memindahkan data berkenaan kepada kad fizikal berkenaan. Seperti biasa, fungsi ini hanya dipertontonkan sahaja, dan tidak diketahui akan diimplementasikan secara meluas ataupun tidak. Jikalau ya pun, mungkin hanya di China sahaja, dan bukannya di Malaysia untuk tempoh terdekat ini.

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5


Kamera

Dengan kebanyakkan telefon pintar menawarkan fungsi yang lebih kurang sama pada hari ini, penyertaan kamera yang berkualiti telah menjadi salah satu fokus ramai pengeluar di seluruh dunia. Xiaomi tidak melupakannya dengan Mi 5. Pada Xiaomi Mi 5, mereka menyertakan kamera belakang 16-megapixel yang hadir dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS). Xiaomi Mi 5 menyertakan sokongan penstabilan imej optikal pada 4-arah – berbanding kebanyakkan peranti yang hanya 2-arah sahaja. Ini membolehkan video yang dirakamkan lebih stabil. Jikalau diberikan perhatian pada lensa belakang, ia boleh dikatakan sedikit bergerak atau bergoyang ketika pengguna menggerakkan peranti.

Melengkapkan sokongan OIS ini adalah fungsi PDAF yang membolehkan sesuatu gambar di fokuskan dengan pantas berbanding penggunaan autofokus biasa.