Musa Hitam Sahkan Mahathir Gagal Majukan Malaysia

Kesalahan tertumpu sepenuhnya di atas kepala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal memastikan Malaysia berkembang dengan pesat dan maju seperti yang dijanjikan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam telah mengesahkan bahawa Mahathir gagal untuk mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskannya sendiri pada zaman kegemilangan tapak pemerintahannya. Kesalahan tersebut sememangnya tanggungjawab sepenuhnya Mahathir, kerana beliau adalah kepala kepada segala idea tersebut.

Musa Hitam menganggap Mahathir sebagai seorang yang gagal, kerana meskipun beliau seorang ilmuwan namun beliau lokek ilmu. Mahathir gagal untuk menurunkan ilmu pemerintahannya, sebaliknya beliau hanya tahu menghentam peminpin selepasnya.

Mahathir terlalu ghairah memerintah sehinggakan beliau lupa untuk melatih pemimpin di semua peringkat. Terutama sekali pemimpin politik supaya meneruskan misi Wawasan 2020 yang ingin dicapainya.

Oleh sebab itu, pemimpin sekarang agak terumbang ambing apabila di kritik pedas olehnya. Sepatutnya Mahathir membimbing dan menjelaskan secara terperinci mengenai apa yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020, bukannya hanya tahu menghentam.

“Adalah ironi Wawasan 2020 pasti gagal kerana Dr Mahathir sendiri. Sebijak mana pun beliau, Dr Mahathir lupa bahawa untuk berjaya beliau perlu melatih pemimpin dari semua peringkat terutamanya di kalangan pemimpin politik,” katanya.

Musa Hitam menjelaskan perkata tersebut dalam ucapannya di majlis memperingati ulang tahun ke-113 Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman semalam. Majlis tersebut dianjurkan oleh Institut Hal Ehwal Demokrasi Dan Ekonomi (IDEAS).

Dalam nada yang agak kecewa, Musa memberitahu matlamat Malaysia ke arah Wawasan 2020 hanya tinggal empat tahun sahaja lagi. Jika Mahathir gagal untuk menurunkan segala ilmu yang ada, maka negara akan mengalami kegagalan.

Sedih melihat keadaan dan situasi politik dalam negara masa ini, Musa kesal dengan sikap Mahathir yang sombong dan hanya mementingkan diri sendiri. Pada zaman pemerintahan Mahathir, Wawasan 2020 diumumkan ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Dan pada ketika ini Mahathir hanya menyalahkan pemimpin sekarang atas kegagalannya sendiri bagi mencorak seorang pemimpin terulung. Kesalahan di tunding kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mampu mencapai Wawasan 2020 disebabkan terlalu menumpukan kepada pendapatan per kapita untuk mengukur pembangunan.

Sebenarnya Mahathir yang bersalah, atas rekod pemerintahannya Mahathir menunjukkan sikap menyingkirkan ramai pemimpin berpotensi dan hanya mengekalkan pengikut setia.

“Pengikut ini dilatih untuk berdedikasi dan setia kepada sesiapa yang duduk di bahagian paling atas.

“Prinsip itu mudah sahaja…mereka hanya perlu setia jika mahu terus ‘hidup’,” katanya.

Kegagalan Mahathir turut diakui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam blognya. Dia mendakwa Wawasan 2020 semakin menjauh dan sukar dicapai ekoran Mahathir gagal mengambil kira krisis kewangan apabila mencetuskan idea itu. – TiraGomez/UtaraNews.com

ep2p-5small