MPKj 'Kencing' Penduduk Berhubung Pembinaan Kondominium Di Kajang

Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) projek pembinaan kondominium mewah, The Lourve di Kajang berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, didakwa tidak tepat dan meragukan.

Perunding bebas, Nurul Najwa Nawai, berkata hasil penelitiannya mendapati ada perbezaan analisis membabitkan perjalanan keluar masuk dan pembinaan kondominum berkenaan dalam laporan pemaju kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Beliau yang dilantik oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), (SMKA) Maahad Hamidiah, berkata pihaknya sudah mengemukakan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini, berhubung keraguan berkaitan analisis yang tidak tepat berhubung kawasan sekitar pembinaan.

“Perbezaan sangat ketara melebihi 100 peratus. Kita sudah menyediakan laporan lengkap dan akan diserahkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan susulan.

“Kita juga bersedia meneliti bersama laporan TIA terbabit dengan pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Bertindak PIBG SMKA Maahad Hamidiah, Salahudin Amir Hassan, berkata TIA adalah laporan wajib yang perlu dikemukakan oleh pihak pemaju untuk mendapatkan kebenaran merancang dari pihak MPKj.

“Saya percaya ini adalah laporan TIA yang dikeluarkan pihak perunding pemaju kepada MPKj bertujuan membantu pemaju mendapatkan kebenaran bagi menjalankan projek kondominium berkenaan.

“Hari ini (semalam) kita membuat laporan polis untuk minta polis menyiasat perkara ini, kerana dilihat terdapat unsur meragukan dalam laporan TIA yang dikeluarkan oleh pemaju,” katanya. – BH

ep2p-2