Lelaki OKU Terselamat Dari Menjadi Mangsa Kebakaran Rumah Sendiri

Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Tok Dor, dekat sini, pagi tadi.

Mohd Rais Mahyuddin, 31, sempat diselamatkan oleh jiran yang menyedari dia terperangkap dalam rumah terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa tinggal bersendirian di rumah, manakala bapa dan ibu angkatnya ke masjid berhampiran menunaikan solat Subuh.

Jirannya, Kadir Sulaiman, 64, berkata Mohd Rais berada di bilik air untuk mandi dan kelihatan bingung ketika diselamatkan.

“Selepas menyelamatkan ahli keluarga, saya teringatkan Mohd Rais dan bergegas ke rumahnya walaupun api marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran yang memusnahkan sederet rumah tiga pintu itu berlaku dengan pantas dan mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda.

ep2p-5small