Wakil Rakyat Ditawar Kurniaan Pingat Kebesaran ‘Bonda Ratu’

SUNGAI RAMBAI – 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Melaka ditawarkan kurniaan pingat pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran ‘Bonda Ratu’, yang sepatutnya diadakan pada Sabtu.

 

Menurut ADUN Sungai Rambai, Datuk Hassan Abd Rahman, beliau terkejut apabila menerima jemputan ‘Pingat Anugerah Tertinggi Darjah Keramat Nang Sakti’ di ‘Istana Mahligai Ratu’ milik ‘Bonda Ratu’ berkenaan.

 

Hassan turut berkata, beliau diminta untuk memakai pakaian istiadat lengkap berwarna kuning pada hari penganugerahan tersebut.

 

Katanya lagi,  beliau sendiri langsung tidak mengetahui susur galur wanita yang mendakwa dirinya ‘Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia’ itu dan tindakan pihak polis menahan reman untuk siasatan adalah amat wajar kerana boleh mengganggu gugat salasilah kesultanan yang ada.

 

“Saya dapati perlu ada siasatan berhubung dengan perkara ini supaya masyarakat tidak keliru dan saya berterima kasih kepada mereka yang memantau secara dekat.

 

“Saya juga selaku wakil rakyat di sini sudah pasti ingin menjaga keharmonian masyarakat supaya masyarakat berada dalam keadaan tenteram, tidak diganggu dengan majlis penganugerahan yang tidak mendapat pengiktirafan kerajaan negeri itu,” tambah Hassan.

 

Beliau berkata, isu ‘Bonda Ratu’ pernah hangat di sekitar kawasan Sungai Rambai empat tahun lalu dan wanita ini sememangnya berada dalam pemerhatian pelbagai pihak.

 

Namun katanya, beliau terkejut apabila wanita ini cuba mengulangi perbuatannya yang sudah tentu melanggar perlembagaan negara.

 

Pada Khamis lalu, wanita yang menggelarkan dirinya Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia atau ‘Bonda Ratu’  bersama suaminya telah ditahan polis di kediamannya berikutan dipercayai akan mengadakan satu majlis penganugerahan pingat sempena ‘Hari Kebesaran Bonda Ratu’.

 

Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran itu dijangka akan dihadiri lebih 80 orang untuk menerima pingat dan gelaran tertentu selain didakwa akan turut dihadiri oleh Keturunan Sultan Kerinchi. – Awani