Video: Kerajaan Rugi RM180 Juta Tak Kutip Cukai Bauksit, Kata Rafizi

PETALING JAYA – Kegagalan mengutip duti import hasil dari perlombongan bauksit di Pahang mengakibatkan Kerajaan Pusat rugi kutipan cukai dianggarkan berjumlah RM180 juta, dakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

 

Beliau yang ditemui ketika sidang media di ibu pejabat PKR di sini, mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan yang tidak mengutip sebarang duti eksport sedangkan dalam akta pembahagian Duti eksport Galian 1964 seksyen 2(1) dan seksyen 2(2) menyatakan duti eksport ini perlu dibayar kepada kerajaan persekutuan dan akan dibahagikan kepada kerajaan negeri.

 

“Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya ialah apabila kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 260600000 adalah 0% seperti yang ditunjukkan oleh laman Kastam DiRaja Malaysia sendiri. Berdasarkan maklumat ini, bermakna eksport bauksit ke luar negara tidak dikenakan sebarang duti eksport dan kerajaan persekutuan tidak mengutip sebarang hasil.

 

“Ini bermakna kerajaan persekutuan membuat keputusan untuk tidak mencukai eksport bauksit sedangkan pengusaha bauksit dilaporkan mendapat keuntungan bersih sehingga 40% bagi setiap tan bauksit,” katanya lagi.

 

Tambah beliau lagi, kerajaan perlu mengenakan duti eksport sekurang-kurangnya 10 peratus untuk mengimbangi kesan dan kos membaik pulih alam sekitar.

 

“Jika kerajaan persekutuan peka dengan kesan perlombongan bauksit dan kos membaikpulih alam sekitar, paling kurang ia perlu mengenakan duti eksport sebanyak 10 peratus setanding dengan duti ekaport ke atas eksport kelapa sawit,” ujarnya.

 

Isu perlombongan bauksit menarik perhatian umum sejak kebelakangan ini berikutan pencemaran yang berlaku telah menjejaskan penduduk setempat selain kebimbangan umum selepas beberapa batang sungai di Pahang dilaporkan bertukar kepada warna merah kesan perlombongan bauksit. – SuaraTV