TPM Tinjau Baraj Sungai Sarawak

KUCHING –  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk meninjau sistem kawalan air di Baraj Sungai Sarawak, di sini pagi ini.

 

Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang tiba di Baraj Sungai Sarawak pada jam 9.40 pagi dan diberi penerangan mengenai sistem berkenaan oleh Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) William Jinep.

 

Baraj Sungai Sarawak atau bendungan dibina pada tahun 1995 dan siap pada November 1997 dengan kos RM150 juta, adalah sebahagian daripada projek Skim Pengawalan Sungai Sarawak (SSRS).

 

Bendungan itu mempunyai lima pintu air turut mempunyai kekunci `shiplock’ serta jambatan dengan empat lorong kenderaan.

 

Rekaan bentuk baraj dibina berdasarkan keadaan banjir yang berlaku sebelum ini, khususnya banjir besar pada 1963 serta maklumat tambahan daripada pakar dari Britain dan Denmark.

 

Baraj Sungai Sarawak dirasmikan pada 27 Ogos 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. – BHarian



This entry was posted in Terkini, Utama. Bookmark the permalink.