Sudikah Mirzan & Mokhzani Berganding Taja Pasukan Mukhriz?

Sejak meletup cerita tajaan Dato’ Seri Vida bernilai RM16 juta kepada pasukan bola sepak negeri Kelantan baru-baru ini, dilaporkan begitu galak sekali beberapa jutawan dan hartawan yang dikatakan berura-ura untuk menaja beberapa pasukan Liga Malaysia.

Selain dari desas-desus yang mengatakan bahawa Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari sedang merancang untuk menaja sebuah pasukan pilihannya, kecoh juga dibualkan di media sosial kononnya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang mahu menaja pasukan Kedah dengan tajaan bernilai RM35 juta.

Walau bagaimanapun, desas-desus tentang tajaan Syed Mokhtar itu ditepis oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menjelaskan bahawa pihaknya hanya menghantar surat memohon tajaan dari hartawan kelahiran Kedah tersebut, bukan sebagaimana yang didakwa di internet.

Apa yang menariknya, kita semua tahu bahawa Syed Mokhtar merupakan antara hartawan yang terkaya di Malaysia dan membina empayar perniagaannya di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tidak kurang juga desas-desus yang mengaitkan Syed Mokhtar adalah antara kroni paling rapat Tun M sebelum ini.

Namun begitu, kita juga maklum tentang gaya dermawan seperti Syed Mokhtar itu. Tidak lokek dengan rezeki dan kekayaan yang Allah berikan padanya, beliau mendermakan sebahagian besar dari hartanya kepada aktiviti amal dan kebajikan, terutama yang membabitkan kepentingan umat Islam.

Kita sudah biasa dengan Syed Mokhtar membina berpuluh-puluh masjid dan membelas nasib anak-anak yatim sama ada di dalam mahupun di luar negara. Tidak cukup dengan itu, ramai pula masyarakat miskin yang turut menerima bantuan dari dermawan muslim tersebut…

Sebagai anak kelahiran Kedah, khabarnya sudah bermacam-macam jenis bantuan dan kebajikan yang beliau tabur di negeri tersebut, termasuk membina sebuah masjid yang menelan belanja jutaan ringgit dan menjadi mercu tanda di ibu negeri berkenaan, Masjid Al-Bukhary di Alor Setar.

Apa yang menghairankan, beberapa lagi hartawan yang dikatakan berkampung halaman di Kedah tidak pula bersikap seperti Syed Mokhtar. Antaranya ialah bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dan anak-anak Tun M sendiri, Datuk Mokhzani dan Datuk Mirzan Mahathir.

Khabarnya, kekayaan Daim tiada tolok bandingnya hinggakan ramai yang terkejut mendakwa bekas orang kanan Tun M itu memiliki banyak bank di luar negara. Tiada sesiapa yang tahu nilai kekayaan beliau hingga hari ini.

Namun, kekayaan Mokhzani ramai yang tahu ekoran namanya turut terpampang sebagai antara senarai individu terkaya di Malaysia dengan harta berbilion ringgit. Katanya, beliau juga miliki puluhan kenderaan mewah dan mahligai yang layak digelar istana.

Begitu juga dengan Mirzan yang kaya raya, cuma namanya saja yang tidak tersenarai di dalam orang terkaya di negara kita. Khabarnya, boleh tahan juga kontrak-kontrak mewah yang ‘dianugerahkan’ kepada beliau hanya kerana namanya berbinkan ‘Mahathir’. Kata mereka, jika berbinkan Abu, jangan haraplah dapat kontrak mega sepertinya, benarkah?

Justeru itu, penulis tertanya-tanya di fikiran, mengapa Mokhzani dan Mirzan tidak berganding bahu untuk sama-sama menaja pasukan Helang Merah di negeri yang dipimpin adik mereka, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir?

Kita semua tahu bahawa seluruh keluarga Tun M itu berkampung halaman di Kedah. Kedekut sangatkah wang yang melimpah ruah itu untuk disumbangkan demi kemajuan pasukan hijau kuning kebanggaan rakyat Kedah? Di mana letak agaknya ‘keKedahan’ adik beradik itu?

Takkanlah mereka mengharapkan Tun M yang menaja Helang Merah? Ayah mereka itu bukannya kaya raya seperti mereka, bukan? Walau hidup bagaikan ‘raja’, ke hulu ke hilir dengan jet peribadi khabarnya, namun akaun bank beliau khabarnya cuma ada beberapa ribu sahaja hasil wang pencennya…

Lagipun, selaku abang-abang yang baik dan telah menerima ‘laba’ dari kesan-kesan ‘kronisme’ terdahulu, apalah salahnya jika menaja pasukan Kedah dalam RM20 juta? Penulis yakin RM20 juta itu akan memberikan pelepasan cukai dan tidak akan memiskinkan kedua anak Tun M itu, bukan?

Setidak-tidaknya, berilah sokongan kepada pasukan kebanggan Mukhriz dan rakyat Kedah. Khabarnya teruk juga KFA menulis surat ke sana ke sini ‘mengemis’ tajaan. Hingga ke Thailand pun mereka ‘turun’ meminta-minta belas ehsan tajaan hartawan negara jiran, khabarnya…

Jadi, penulis berharap agar Mirzan dan Mokhzani yang diberi rezeki lebih secara peribadi oleh Allah itu, sudi berkongsi kebanggaan dengan rakyat Kedah dengan menaja pasukan Helang Merah pada musim ini. Itupun jika rasa diri mereka ‘orang Kedah’lah. Tapi jika merasakan diri mereka ‘orang KL’, maka simpanlah duit itu bikin pusaka… – CheDot/Utaranews.com

ep2p-5small