Selangor Jamin Tiada Catuan Air Walaupun Dilanda El-Nino

PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan tidak akan berlaku catuan air walaupun negara sedang mengalami musim kering akibat fenomena El Nino ketika ini.

 

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi dengan menggunakan formula yang digunakan tahun lepas, bagi memastikan bekalan air mentah di kesemua empangan utama mencukupi sepanjang fenomena yang dijangka berlarutan sehingga Mac.

 

“Kita maklum bahawa akan berlaku musim kemarau dan paras air di empangan akan berkurangan, kita akan pastikan tiada catuan air berlaku tahun ini. Berdasarkan pengalaman kita tahun lepas.

 

“Kita berjaya melalui musim kemarau sepanjang tahun tanpa sebarang catuan, malah kita akan menggunakan strategi sama tahun ini seperti melakukan pembenihan awan sepanjang tahun dan akan mengepam air dari empangan ke empangan lain dimana parasnya berkurangan untuk memastikan ia seimbang,” katanya kepada FMT.

 

Sebelum ini Kementerian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia menyatakan seluruh Malaysia akan menghadapi cuaca panas dan kejadian fenomena El Nino yang sedang berlaku dijangka akan berterusan sehingga suku pertama 2016.

 

Fenomena El Nino ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 hingga 60 peratus. – FMT



This entry was posted in Berita (Semasa), Terkini. Bookmark the permalink.