Rumah PPR Hanya Untuk Warganegara Malaysia, Bukan Untuk Warga Asing

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya sedang mengatur satu strategi untuk memastikan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.

Katanya, adalah tidak masuk akal apabila pihaknya mendapati ada warga asing yang menjadi menghuni PPR.

“Kita akan kuatkuasakan langkah untuk memastikan hanya warganegara Malaysia yang menghuni PPR.

“Ini tiada kompromi, kalau bukan warganegara kita akan suruh keluar. Ini mandatori,” katanya ketika majlis bulanan Kementeriannya bersama warga KPTKT di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Rahman berkata langkah ini penting kerana masih ramai rakyat Malaysia yang sedang menunggu giliran untuk menghuni Projek Perumahan Rakyat.

“Kalau saya turun padang, ramai rakyat yang minta kepada saya untuk menjadi penghuni PPR.

“Jadi sebagai kerajaan yang prihatin, kita perlu pastikan hanya rakyat Malaysia sebagai penghuni projek rakyat tersebut,” katanya. – Sinar harian

ep2p-5small