Rozita Che Wan Melenting, Anak Dikritik Tunjuk Kemewahan

KUALA LUMPUR — Pelakon dan model Rozita Che Wan akan sensitif dan mudah melenting jika ada pihak tertentu, termasuk peminat, yang memandang negatif gaya hidup keluarganya.

 

Rozita berkata sebagai ibu, beliau berhak memberikan kemewahan kepada anak-anaknya. Popular juga diipanggil Che Ta, beliau berasa marah jika pengguna media sosial mempertikaikan rezekinya.

 

“[Kritikan] itu pantang saya. Hati ibu mana yang tidak terasa jika anaknya dituduh dan dikritik tanpa usul periksa. Bukan saja saya, malah mereka turut merasainya.

 

“Saya cukup marah apabila ada mengatakan anak saya bernasib baik kerana memiliki ibu seperti saya sehingga boleh hidup mewah. Sebab itu saya akan balas komen mereka.

 

“Ini kerana perkara sedemikian tidak sepatutnya dijadikan isu. Lagipun, kalau bukan untuk mereka, siapa lagi?” kata bekas pramugari ini seperti dipetik portal Harian Metro.

 

Kritikan gaya hidup mewah mereka tercetus apabila Che Ta bersama keluarga bercuti ke London, Paris, Madrid dan Barcelona selama 22 hari baru-baru ini.

 

Di akaun Instagram, anak sulungnya Ammar Effendy memuat naik gambar membimbit beg beli-belah dengan coretan:

 

“Whoever said money can’t buy happiness simply didn’t know where to stop”. (Sesiapa yang menyatakan wang tidak boleh membeli kebahagiaan memang tidak tahu).

 

che ta & anak

 

Gambar itu mengundang reaksi pengguna media sosial, ada di antara mereka tidak berpuas hati dengan kemewahan yang ditunjukkan Ammar.

 

Che Ta sebelumnya tidak lokek memberi kemewahan kepada anaknya apabila menghadiahkan kereta mewah BMW 6 siri kepada Ammar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

 

Anak keduanya Aniq Ezzra, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan tersebut bakal menerima kereta sports Nissan GT-R pula.

 

Manakala anak bongsunya Aaisha Dhia Rana semasa majlis ulang tahun kelahiran pertama November tahun lalu diberikan hadiah seutas rantai berlian.

 

“Saya dulu tidak menikmati seperti anak saya dapat hari ini. Jadi, apabila saya diberikan rezeki lebih, tidak salah jika saya berbelanja untuk mereka,” Che Ta dipetik berkata.

 

“Namun, untuk mendapatkan apa diinginkan, mereka perlu berusaha.” – MalayMail