PRU Thailand Akan Di Tangguh Sehingga 2017?

Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand yang dijadual pada pertengahan 2017 mungkin ditangguhkan selama beberapa bulan berikutan draf perlembagaan berhubung undang-undang asas berkaitan pilihan raya, belum siap digubal.

Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan (CDC) Meechai Ruchupan berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak masa menggubal undang-undang asas mengenai pilihan raya, menyebabkan pilihan raya umum itu mungkin ditangguhkan.

“Jika perlembagaan tidak mempunyai undang-undang asas, maka pilihan raya tidak boleh diadakan, justeru tidak menjadi masalah jika (pilihan raya umum) perlu ditangguh selama beberapa bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memperkenalkan draf perlembagaan yang termasuk 270 artikel, di Parlimen.

Kerajaan pimpinan tentera di Thailand bercadang mengadakan pilihan raya umum pada pertengahan tahun depan, sebagai sebahagian daripada pelan tindakan ke arah demokrasi selepas rampasan kuasa tentera dua tahun lepas.

Pungutan suara mungkin diadakan pada pertengahan tahun ini, untuk menilai pendapat umum mengenai draf perlembagaan, sementara Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha telah menyatakan hasratnya tidak mahu berada lebih lama dalam kuasa pentadbiran.

Mengikut Meechai, draf perlembagaan itu mengambil kira pendapat daripada semua lapisan masyarakat menggunakan pendekatan wawancara bersemuka serta memanfaatkan kaedah komunikasi moden termasuk media sosial.

Beliau berkata CDC terbuka kepada semua pandangan dalam memuktamadkan penggubalan perlembagaan itu.

CDC mempunyai 21 anggota yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) yang diketuai Perdana Menteri. – BERNAMA

ep2p-2