Projek Naiktaraf RM9.8 Juta, Azmin Jadikan Khalid Ibrahim Kambing Hitam – SAMM

SHAH ALAM – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, memperlekehkan alasan Menteri Besar Selangor bersabit tindakan kerajaan negeri membelanjakan RM9.8 juta untuk menaiktaraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

 

Badrul Hisham yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard berkata, Datuk Seri Azmin Ali perlu bertanggungjawab dan bukannya meletakkan kesalahan itu dibahu menteri besar terdahulu, iaitu Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.

 

“Jika dewan (Dewan Undangan Negeri Selangor) dijadikan alasan untuk semua amalan pembaziran dan seumpamanya tidak boleh ditentang maka GST dan banyak perkara lagi tidak boleh dipertikai pembangkang kerana turut diluluskan melalui dewan parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

 

Malah tindakan Azmin yang meminta ADUN Haniza Talha, menjawab isu ini jelas membuktikan bahawa beliau tidak mampu berdepan isu ini sekali gus mahu membersihkan namanya.

 

“Haniza menyatakan projek ini diluluskan oleh menteri besar dahulu.

 

“Ada tidak kena dan ia diletakkan atas kepala Khalid demi membersihkan Azmin maka apa bezanya dengan cara menteri besar Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ketika ada yang tidak kena maka dituduh ia kesalahan menteri sebelumnya,” katanya.

 

Chegubard juga mempersoalkan sekiranya projek ini diluluskan Khalid, mengapa Azmin meneruskannya apabila sedia maklum ia sebuah projek yang membazir.

 

“Khalid meluluskan projek tetapi ia diteruskan dan proses ‘pengasingan peruntukan’ dan lantikan syarikat dijalankan ketika Azmin menjadi MB, kenapa ia diteruskan?, soal beliau.

 

Malah beliau juga ragu dengan alasan yang dinyatakan Haniza, iaitu peruntukan tersebut menggunakan dana kerajaan terlebih dahulu, namun kemudian ia bakal digantikan dengan derma.

 

“Alasan ini mengundang senyum sinis banyak pihak. Jelas ia bercanggah dengan amalan tatakelola kewangan kerajaan atau adakah Selangor mengendalikan kewangan negeri seperti akaun gerai goreng pisang?

 

“Jika ia derma kenapa tidak disebut dalam belanjawan ketika projek ini diluluskan, kenapa istilah derma hanya muncul setelah projek membazir ini diserang.

 

“Projek dikeluarkan, bayaran (wang kerajaan negeri) diberi kepada kontraktor, kemudian bagaimana nak rekod wang ‘derma’ masuk bagi ‘cover’ duit yang sudah keluar. Dalam tatakelola kewangan pembelanjaan adalah perbelanjaan,” katanya lagi.

 

Sebelum ini Chegubard mendedahkan pembaziran kerajaan negeri yang membelanjakan sebanyak RM9.8 juta untuk menaiktaraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

 

Katanya, perbelanjaan mengecat semula serta menaik taraf pintu gerbang itu terlalu mahal dan jelas sekali membazir. – AntaraPos