Polis Pantau Kegiatan IS Di Perak

IPOH – Polis Perak sentiasa memantau kegiatan orang awam di negeri ini bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan anasir negatif termasuk menyertai kumpulan militan Daesh.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh, berkata setakat ini pihaknya tidak mengesan aktiviti militan di negeri ini. “Selain penugasan biasa mencegah jenayah, polis Perak juga menjalankan tugasan untuk menghindar ancaman Daesh.

 

Polis Perak bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau kegiatan itu.

 

“Polis mengawal keselamatan di semua kawasan khususnya kawasan tumpuan orang ramai agar penduduk merasa lebih selamat di mana jua mereka berada,” katanya kepada pemberita pada program ‘High Profile Policing’ bersama masyarakat sempena sambutan Thaipusam di Kuil Arul Subramaniar di sini hari ini.

 

Katanya, bagi sambutan Thaipusam, polis Perak telah menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada anggota polis dan pegawai untuk memastikan keselamatan terkawal. ‘

 

“Seramai 1,600 anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan di sekitar Gunung Cheruh di sini yang menempatkan Kuil Arul Subramaniar sempena perayaan Thaipusam,” katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai tangkapan anggota Geng Mamak pada Jumaat lepas, beliau berkata polis sedang mengenal pasti seorang lagi anggota kumpulan itu. Dalam kejadian itu, seorang anggota Geng Mamak berumur 38 tahun mati ditembak manakala dua lagi masing-masing berumur 31 tahun dan 35 tahun ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kereta polis di Plaza Tol Changkat Jering.

 

Suspek yang memandu kereta Volkswagen Passat enggan memberhentikan kenderaannya setelah diarah polis, sebaliknya bertindak merempuh kereta polis, dan polis terpaksa melepaskan tembakan sehingga mengenai bahagian rusuk kirinya. Semua mereka berasal dari Perak itu mempunyai rekod jenayah lampau. – Bernama