Nasib Anak Menumpang Di Beranda Orang

menung

DCCK 3 JANUARI 2016

“UMUR saya sekarang sudah menjangkau lebih 50an tahun, jadi saya tak tahu sama ada cerita atau kisah hidup saya ini sesuai dan boleh diterima untuk ruangan DCCK ini atau tidak. Pertama kerana ini bukan masalah rumahtangga, kedua cerita ini kisah hidup saya sendiri seorang lelaki tua tentang kehidupannya semasa muda remajanya.
“Tetapi rasanya sebagai bacaan umum apa salahnya? Lagi pun cerita saya ini sesuai dijadikan tauladan kepada anak cucu zaman sekarang, yang celik mata tahu hidup senang, dan tidak pernah tahu apa erti hidup susah. Paling tidak dapat menyedarkan diri saya sekarang supaya bersyukur dan tahu menilai betapa pentingnya pelajaran dan hubungan antara saudara mara.
“Sesekali bila duduk termenung di varanda rumah tanpa saya sedari air mata berlinang bila mengenangkan nasib betapa susahnya saya untuk jadi seperti sekarang. Kerana susah itulah juga saya berusaha dan berdoa supaya tidak ada anak cucu saya menjalani hidup seperti saya dulu.’’ Itu cerita Encik Latif dalam emelnya.
“Saya sering teringat dan tertanya diri sendiri macam mana saya boleh hidup senang seperti sekarang, tidak berpelajaran tinggi tetapi berkat sabar, kerja keras, ingat kepada emak ayah dan sentiasa bersyukur kepada Allah, maka semuanya memberi keberkatan kepada saya. Anak-anak belajar hingga ke kolej dan IPT. Dan 2 dari 4 orang sudahpun berkahwin dan berkeluarga.
“Kepahitan hidup saya bermula sebaik saya duduk menumpang di rumah saudara di bandar. Kerana rumahnya 2 batu dari sekolah. Walaupun dekat, tetapi saya sering ke sekolah dengan air kopi o sahaja. Sesekali dapatlah makan kuih kodok bawang atau nasi goring, itupun kalau pakcik ada di rumah jika tidak, saya cuma dapat makan bila balik sekolah tengah hari nanti.
“Kata ayah duduk menumpang rumah orang mesti pandai bawak diri, mesti rajin tulang jangan jadi macam pahat dengan penukul, sekali ketuk baru bekerja. Jadi balik sekolah saya gantong baju sekolah tukar pakai baju lusuh pergi sapu sampah keliling rumah, sapu longkang, buang sampah siram pokok bunga dan macam-macam lagi.
“Dah beres baru dapat makan. Saya tidur di luar rumah (di varanda). Mandi di tempayan yang disediakan di luar. Pakaian, termasuk kasut dan baju sekolah saya cuci sendiri, tak perlu seterika memadai lipat. Yang penting tak koyak.
“Bila cuti sekolah baru balik kampung, Bila ayah tanya macam mana duduk di bandar, saya ceritakan yang terbaik, tak cerita pasal susah dapat makan. Kerana duduk rumah bukan dapat makan mewah pun. Tetapi sarapan mesti ada nasi biarpun nasi semalam dengan baki kuah yang emak perangatkan. Pendek kata ke sekolah taklah berlapar.
“Dua tahun lamanya saya bertahan duduk di rumah pakcik. Masuk tahun ketiga, saya mula terasa susah bercampur malu. Sebab terasa dah besar dan malu pada kawan sebab tidur luar rumah. Setiap hari saya mandi jam 5.00 pagi sebelum orang pergi kerja atau ke surau. Sementara tunggu siang untuk ke sekolah saya duduk di tangga. Manalah tahu kalau dapat air kopi.
“Baru 3 bulan dalam tingkatan tiga saya lari, sebab tak tahan banyak masalah. Maklum menumpang. Kata makcik, ayah saya hantar duit sebulan kadang RM15 atau RM20 mana cukup untuk makan minum dan duit belanja sekolah saya? Memang betul ayah memang tak ada duit. Dia menorah getah. Harga getah murah. Saya ada 4 lagi adik yang hendak bersekolah. Tentulah susah. Jadi bila telinga sakit lebih baik cabut!
“Duduk rumah pakcik masa belajar tingkatan satu, saya jalan kaki ke sekolah. Di kampung dari darjah 1 hingga 6 pun saya jalan kaki ke sekolah dengan adik. Waktu tu adik darjah 2. Adik perempuan saya tak sekolah sebab jaga adik-adik, sebab emak bantu ayah menorah.
“Harapan ayah hantar saya ke rumah adiknya supaya saya boleh habis sekolah sampai tingkatan 5. Nanti senang dapat kerja. Boleh bantu adik-adik. Kata ayah tentu adiknya boleh tolong, cuma saya seorang. Itulah bermulanya saya sekolah di bandar.
“Tapi bila saya lari dari rumah pakcik, saya hantar sukar pada ayah saya katakan saya duduk menumpang rumah kawan sebab senang nak belajar dan tak lama lagi nak periksa SRP. Ayah percaya agaknya, sebab saya hantar surat. Cuti sekolah saya hantar surat lagi tak balik sebab nak belajar.Agaknya ayah percaya juga, sebab saya hantar surat minta ayah jangan bimbang.
“Tetapi sebenarnya saya bekerja di kedai perabut milik tauke Cina. Kalau dikira pasal umur memang tauke tu tak mahu ambil saya bekerja, katanya saya masih budak lagi. Tapi saya ceritakan saya perlu kerja, sebab susah datang dari kampung. Akhirnya dia bagi, tapi katanya gaji saya kecil. Saya tak kisah. Asalkan ada duit, dapat makan dan ada tempat tidur.
“Saya tidur di store simpan barang. Walaupun sempit tapi cukup bagus ada bilik air dan boleh tidur atas sofa buruk. Bukan atas lantai beralaskan tikar mengkuang. Pendek kata asalkan boleh lelap tidur sudah cukup baik. Tak ada nyamuk sebab ada kipas angin. Kira oklah.
“Kerja saya turunkan dan baikkan barang perabut bersama driver, hantar rumah orang. Lebih kurang kelindan lori. Cuma tauke kata saya tak boleh tunjukkan muka nanti polis tangkap. Kena pakai topi. Ketika bekerja inilah saya terjumpa kawan sekolah, mereka ajak saya belajar tusyen dengan guru sekolah pada waktu malam, bayaran pun taklah mahal sangat. Tetapi pada saya tak berduit ni memang mahallah jugak.
“Tiga bulan kemudian saya masuk sama belajar. Saya beruntung kerana guru ni memang baik dan sanggup ajar saya yang ketinggalan banyak pelajaran. Nasihatnya banyak memberi saya semangat terus belajar. Perkataan yang saya tak boleh lupa. `Pelajaran boleh mengubah hidup saya jika mahu’. Dia galakkan saya ambil SRP pada tahun hadapan. Sebab untuk tahun itu saya sudah ketinggalan.
“Katanya tahun hadapan sambil buat persediaan SRP, saya mesti belajar untuk persediaan SPM. Memang saya terkejut. Tinggi sangat harapan cikgu ni, sedangkan saya rasa kalau lulus SRP ni pun dah kira bagus, hajat saya lulus SRP saya nak jadi polis atau askar.
“Katanya lagi, nak jadi polis atau askar boleh tapi kalau ada SPM lagi baik. Saya ketawa, sebab gaji saya kecik mana boleh saya bayar yuran. Nak makan, beli buku dan sebagainya.
“Tapi cikgu ni macam faham, katanya jangan fikir pasal yuran, bayar setakat mampu, tentang buku bacaan anak-anaknya ada banyak buku saya boleh pinjam. Boleh baca. Untuk ulang kaji beliau boleh bantu. Asalkan saya bersedia belajar.
“Lepas SRP nak periksa SPM pulak, cikgu suruh saya terus belajar. Ketika itu hidup memang susah, mana nak belajar nak bekerja. Bila malam badan dah penat nak belajar selalu terlelap. Tetapi cikgu sentiasa asak saya supaya terus belajar.
“Untuk cukupkan belanja kerana gaji kecil, saya makan sehari sekali. Makan tengah hari aja, malam minum kopi cecah biskut atau roti. Kadang-kadang driver belanja makan tengah hari. Paling untung bila Tahun Baru Cina, saya pasti dapat gaji lebih dan angpau.
“SPM saya dapat keputusan yang baik, cikgu cadangkan saya minta kerja tak kira kerjaaan atau swasta, tetapi rezeki saya dengan Telekom. Bermula peringkat bawah aja, tetapi berkat kerja keras, usaha dan bekerja tanpa kenal letih saya mendapat kepercayaan jadi kerani taraf bawahan saja. Tetapi pada saya itu yang terbaik. Saya tak sangka dapat jawatan terbaik itu.
“Masa berlalu begitu pantas, saya tak pernah lupakan jasa tauke Cina. Saya akan pergi ziarah dia setiap kali Tahun Baru atau bila lapang, selagi hayatnya ada. Begitu juga cikgu. Sapa sangka kemudiannya beliau jadi bapa saudara kerana saya berkahwin dengna anak saudaranya. Sepanjang hayatnya beliau sentiasa nasihatkan saya supaya berjimat dan belajar ilmu tentang kehidupan. Sebab ilmu kehidupan tidak diajar di sekolah. Tetapi lahir dalam diri sendiri dan bagaimana kita menerima dan menghadapinya.
“Walaupun saya tak berpelajaran tinggi, tetapi pengalaman bekerja banyak membawa kejayaan dalam hidup saya. Siapa sangka ketika telekom menilai pekerjanya, saya dapat banyak `pink form’ Ketika itu cerita `pink form’ ini memang meletup. Tetapi saya ingat nasihat cikgu masa berada kita mesti berjimat demi masa depan.
“Walaupun sudah berumahtangga dan mempunyai anak saya tidak pernah lupakan jasa emak ayah dan saya terus bantu adik-adik yang memerlukan. Falsafah saya, jika saya tolong dan senangkan hidup adik-adik, mereka tidak akan susahkan hidup saya. Memang tepat berkat sifat tolong menolong, hubungan kami adik beradik memang erat. Saya tak hampakan harapan emak ayah supaya saya jadi manusia dan boleh tolong adik beradik.
“Saya tak pernah ceritakan pada ayah mengapa saya lari dari rumah pakcik, tetapi ayah dan emak tahu sendiri. Namun ayah tidak membenci adiknya, sebaliknya berkata ada barakah saya dihantar ke rumah pakcik. Pengalaman hidup susah mengajar saya jadi manusia berguna. Paling penting saya tahu menilai erti kehidupan dan bersikap tolong menolong antara saudara.
“Kini saya bersyukur dengan kehidupan saya sekarang, walaupun sudah bersara, tidak kaya, tetapi hati saya tenang, hubungan kami adik beradik kukuh. Dan kami cuba menerap keakrapan, persaudaran kami ini di kalangan anak-anak kami. Harapan kami walaupun tidak berjaya 100 peratus, 90 peratus sudah cukup baik. Setandan kelapa tidak semuanya baik, pasti ada yang komeng.’’ Itu cerita Encik Latif panjang lebar tentang kesusahan hidupnya zaman kanak-kanak yang telah mendidiknya jadi manusia berhati mulia.

ep2p-5small