Lari, Diserbu Hisap Shisha

KOTA BHARU – Terlalu leka menghisap shisha di sebuah restoran di Guchil Bayam, Kota Bharu akhirnya kesemua pelanggan lari lintang pukang apabila diserbu penguatkuasa malam tadi.

 

Beberapa pelanggan yang baru memesan minuman juga hilang jejak selepas melihat kelibat penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) serta polis yang tiba di lokasi terbabit.

 

Bimbang peralatan menghisap shisha dirampas, peniaga cuba menyorokkan peralatan tersebut di dalam sebuah tangki air di belakang restoran.

 

Bagaimanapun, ia dapat dikesan anggota penguatkuasa yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa MPKB, Ramly Che Hussin.

 

Menurut Ramly, peniaga terbabit tetap berdegil biarpun sebelum ini restoran terbabit kerap diserbu.

 

“Kerajaan negeri tidak membenarkan atau mengeluarkan lesen kepada peniaga untuk menjual shisha di Kelantan. Pemilik premis terbabit pula bakal menerima tindakan disita dan lesen perniagaan mereka boleh ditarik balik,”katanya.

 

Terdahulu, sebanyak 25 shisha dirampas dan peniaga shisha tersebut dikompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen.



This entry was posted in Jenayah, Terkini. Bookmark the permalink.