Kegagalan Politik Yang Membawa Padah Pada Mukhriz Di Kedah?

Sekiranya penulis diberi amanah memikul tanggungjawab untuk menjaga segala hal ehwal politik Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir, rasanya mungkin penulis sudah meletak jawatan tersebut.

Apa tidaknya jika dikatakan bahawa kegagalan terbesar anak mantan Perdana Menteri itu di negeri Kedah adalah disebabkan, beliau gagal menguruskan hubungan politiknya dengan ketua-ketua UMNO Bahagian dan akar umbi parti di negeri kelahiran bapanya itu.

Penulis tidak tahu entah atas rasional apa, Mukhriz melantik seorang bekas Exco dan bekas pemimpin UMNO Bahagian yang dikatakan ‘ditolak’ di Bahagian sendiri sebagai Setiausaha Politik beliau. Namun jika beliau memilih Dato’ Azimi Daim, maka kita hormati pilihan beliau.

Penulis tidak kisah sekiranya Azimi berjaya memastikan hubungan Mukhriz dengan semua ketua UMNO Bahagian terjalin akrab. Namun lain yang diharapkan, lain yang jadi nampaknya. Sampai gagal memastikan majoriti ketua-ketua UMNO Bahagian hadir mesyuarat perhubungan negeri, apa ceritanya?

Terlintas di fikiran penulis, apakah yang Azimi tidak pernah mengatur sebarang perjumpaan di antara Mukhriz dengan ketua-ketua UMNO Bahagian, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagaian, ketua-ketua UMNO Cawangan dan akar-akar umbi UMNO di seluruh 15 UMNO Bahagian di Kedah?

Tahukah beliau bahawa apabila berlaku lantikan baharu bagi jawatan tertinggi parti dibuat oleh Presiden UMNO, maka setidak-tidaknya beliau perlu mengatur perjumpaan-perjumpaan dengan semua pihak berkenaan untuk memohon mandat dari mereka bagi mengepalai UMNO di Kedah?

Penulis hairan, selaku seorang yang pernah menjadi pemimpin di Kedah, apakah alasan Azimi untuk gagal memastikan semua ketua-ketua UMNO di Bahagian untuk bersatu di bawah kepimpinan Mukhriz?

Susah sangatkah untuk bersusah payah memujuk supaya majoriti ‘warlord-warlord’ UMNO Kedah itu? Atau apakah beliau merasakan jawatan Setiausaha Politik itu terlalu ‘besar’ untuk ber’hemoi’ merendah diri dengan mereka, demi karier politik Mukhriz di Kedah?

Penulis tidak bermaksud untuk memperlekeh Azimi. Beliau punya kelebihan yang mungkin dilihat Mukhriz sebagai sesuai untuk menjawat jawatan sepenting itu. Namun hakikatnya tentang apa yang berlaku di Kedah, natijahnya kini sedang memberi kesan terhadap Mukhriz yang dilapor bakal hilang jawatan Menteri Besar pada bila-bila masa saja.

Selain itu, penulis mendapat khabar dari negeri Kedah yang mengatakan Azimi telah ‘menyerang’ seseorang yang tidak sehaluan, menegur dan mengkritik peranan beliau menerusi aplikasi Whatsapp. Benarkah begitu?

Jika benar, padanlah status politik Mukhriz di Kedah tidak pernah ‘sihat’. Mengapa perlu ‘diserang’ secara peribadi? Yang dikritik adalah peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan. Sewajarnya beliau bersifat terbuka, berlapang dada untuk bermuhasabah diri dan menjelaskan keadaan diri tentang apa yang dikritik, bukan ‘menyerang’ kembali pihak yang menegur.

Bukan sekali dua penulis mendengar rungutan tentang ‘lapis-lapis pagar’ atau ‘tol’ yang perlu ditempuh oleh mereka yang berhajat untuk berbincang dengan Mukhriz, namun beberapa nama termasuk Azimi acap kali sering kedengaran menjadi bualan hingga di ibu negara.

Penulis memohon maaf secara terbuka kepada Azimi atas penulisan ini. Bukanlah penulis bermaksud untuk memperkecil kehebatan beliau. Namun penulis mengutarakan pandangan dan kritikan yang mungkin boleh membantu beliau memperbaiki diri pada masa akan datang.

Ikhlas penulis katakan, Azimi pun hebat orangnya dan ada kualiti tertentu yang menarik minat Mukhriz untuk membantu beliau di Kedah. Apa yang pasti, penulis mengucapkan selamat maju jaya kepada Azimi pada masa akan datang. Gagal sekali bukan bermaksud gagal selamanya, bukan? Harap beliau mampu belajar dari kesilapan… – AmirHamzah/Utaranews.com

ep2p-2