Anis Teruskan Misi Jejak Kaki Tujuh Puncak Tertinggi Di Tujuh Benua

KUALA LUMPUR – Misi pendakian ke tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua oleh Siti Hanisah Sharuddin diteruskan dan lokasi seterusnya ialah Gunung Aconcagua, Argentina yang merupakan puncak tertinggi di Benua Amerika Selatan dengan ketinggian 6 962 meter.

 

Beliau yang kini dalam usaha untuk menjadi pendaki wanita Malaysia pertama mencapai puncak 7 gunung tertinggi di 7 benua telah berjaya menawan puncak tertinggi di benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro, Puncak Elbrus di Benua Eropah, Puncak Kosciuzco di Benua Australia selain Gunung Everest di Benua Asia.

 

Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata misi Ini dijangka tidak menghadapi masalah untuk ke puncak Aconcagua berdasarkan persiapan dan latihan yang telah dilaksanakan.

 

“Anis kini hanya perlu fokus kepada tiga lagi puncak gunung iaitu McKinley di Benua Amerika Utara, Vinson Massif di Benua Antartika dan Aconcagua untuk melengkapkan misinya dan bakal mencipta satu lagi sejarah untuk Negara ini dimana Malaysia juga mampu melahirkan seorang pendaki wanita yang berjaya menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia,” katanya.

 
Beliau yang merupakan pemegang rekod sebagai pendaki Everest Malaysia Termuda menawan puncak tertinggi di dunia itu pada tahun 2013 ketika usia 23 tahun memulakan pendakian Aconcagua yang dijangka pada 6 Januari 2015 ke Kem 1 atau dikenali sebagai Canada Camp, 4910 meter, Kem 2 dikenali sebagai Nido de Cóndores pada ketinggian, 5250 meter dan kemudian mendaki ke Kem 3 iaitu Berlín – Cólera Camp iaitu setinggi 5900 meter.

 

Seramai 8 orang mengikuti ekspedisi ini yang diketuai oleh Jurupandu Cappi Claudio dan individu yang yang terlibat ialah Siti Hanisah Sharuddin dan Mohd Khafiz Bachok dari Malaysia, Bettiana dari Argentina, Guy, Tor dan Anne dari Norway, Lorry dari Itali, Nigueal dari United Kingdom dan Micheal dari Austria.

 

Ekspedisi ini dikelola oleh Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) dan turut mendapat sokongan dan tajaan daripada IM4U.