Akibat Mabuk, Nyaris Rentung

SEREMBAN – Gara-gara mabuk, seorang lelaki nyaris rentung apabila enjin keretanya terbakar disebabkan tindakannya menekan pedal minyak kereta secara berterusan.

 

Kejadian berlaku kira-kira 2.15 pagi kelmarin di belakang sebuah premis pusat hiburan di Seremban 2 itu bagaimanapun disedari seorang pekerja di sebuah premis perniagaan berhampiran yang kemudian menyelamatkan mangsa.

 

Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu baru keluar dari sebuah pusat hiburan berkenaan dalam keadaan mabuk sebelum memasuki kereta jenis Proton Wira miliknya yang diletakkan di belakang premis tersebut.

 

Menurut saksi yang enggan dikenali, dia terdengar bunyi deruman enjin tanpa henti sebelum keluar dari premis tempat bekerjanya untuk melihat apa berlaku.

 

“Saya ingatkan pemandu itu sengaja tekan minyak keretanya. Tapi bunyi itu semakin kuat dan tidak berhenti.

 

“Saya mula rasa tak sedap hati bila terhidu bau asap. Saya terus ke belakang premis dan nampak bahagian enjin kereta sedang berasap, tapi pemandunya masih menekan minyak,” katanya.

 

Menurutnya, dia bergegas membuka pintu dan mematikan enjin serta menarik lelaki itu keluar sebelum mengambil alat pemadam api dari dalam premisnya bekerja dan memadamkan kebakaran berkenaan.

 

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Munawir Md Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.32 pagi.

 

Beliau berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

 

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi, api berjaya dipadamkan orang awam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-Sinar