Video: China Aibkan Rakyat Berkelakuan Tidak Senonoh Ketika Melancong

SYDNEY — China menyenarai hitam lima lagi rakyatnya yang berkelakuan buruk dan memalukan semasa melancong ke luar negara, menjadikan semuanya 16 orang, setakat ini.

 

Kelakuan buruk mereka termasuklah bergaduh di dalam pesawat sehingga mengendalakan penerbangan selama sejam dan menumbuk jurujual kedai serbaneka selepas isteri pelancong itu makan sebelum membayar.

 

Nama-nama mereka diumumkan di laman web sebagai pengajaran umum, sekali gus memalukan pelancong terbabit dalam satu kempen Pentadbiran Pelancongan Negara China mulai Januari lalu.

 

Antara yang tersenarai, dua wanita dan seorang lelaki yang bergaduh di atas pesawat dalam penerbangan dari Kemboja ke Chengdu, China, lapor portal Sydney Morning Herald semalam.

 

Memetik media China, akhbar Australia itu melaporkan insiden berlaku selepas seorang wanita menurunkan kerusi yang disandarnya terlalu rendah ke belakang.

 

Pergaduhan itu menyebabkan penerbangan itu tertunda kira-kira sejam selepas juruterbang mengarahkan penumpang-penumpang itu dikeluarkan dari kapal terbang.

 

Manakala seorang lelaki disenarai hitam selepas menumbuk jurujual di Jepun kerana menghalang isterinya membuka dan memakan barangan di kedai itu sebelum membuat bayaran.

 

Beijing menggubal peraturan pelancongan pada 2013 selepas kejadian memalukan rakyatnya di luar negara. Pada tahun itu, seorang remaja China mendapat kecaman di Internet kerana merosakkan rumah ibadat berusia 3,500 di Mesir.

 

Tahun lalu, penumpang negara itu menyimbah air panas kepada seorang pramugari AirAsia dalam penerbangan dari Thailand, lapor portal Australia itu lagi.