Tindakan Najib yang pasti buat Mahathir naik angin.

Perhimpunan Agung UMNO 2015 berakhir dengan penuh dramatik apabila Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan salam perdamaian kepada timbalan presiden parti yang semakin renggang daripada beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Diiringi sorakan oleh perwakilan yang ternanti-nantikan isyarat perdamaian antara kedua-dua pemimpin itu selain dengan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, perdana menteri mengisytiharkan: “Dengan berpandukan kepada ajaran Islam… saya, Najib Razak, sebagai presiden UMNO, memilih untuk berjiwa besar.”

Ketika perwakilan di dalam dewan memberi sorakan bergemuruh tanda bersetuju, beliau meneruskan: “Saya pilih untuk berjiwa besar untuk menghulur silaturahim supaya semua dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO.”

Di peringkat ini, kesemua anggota kepimpinan parti yang berada di atas pentas bangun untuk memberi tepukan kepada Najib, kecuali Muhyiddin, yang terus duduk.

Najib menegaskan bahawa jika “seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, ertinya faham baik-baik, kini bukan lagi soal peribadi”.

“(Ini akan bermakna bahawa) mereka bukan menentang Najib Razak, selaku presiden parti, bahkan ternyata mereka menolak untuk mencari titik perdamaian dan menolak keputusan syura parti dan jemaah UMNO ini,” katanya.

Najib berkata pertelagahan dalam parti akan hanya “menguntungkan pihak lain.”

Beliau turut mengulangi iltizamnya untuk menerajui UMNO dan memimpin parti ke arah yang lebih gemilang, tidak sekali-kali akan menyerah kalah atau berundur daripada perjuangan.

Selepas meneriakkan apa yang kini menjadi ‘sorakan tempur’ beliau, ‘there will be no retreat, no surrender’, Najib berjalan ke arah Muhyiddin lalu menghulurkan salam.

Bekas timbalan perdana menteri kemudian bangun dan kedua-dua pemimpin itu bersalaman.

Dalam sidang akhbar selepas itu yang berlangsung tidak sampai dua minit, Najib berkata tiada kata-kata yang diungkapkan semasa beliau dan Muhyiddin bersalaman.

Beliau berkata menjadi kehendak perhimpunan agung supaya mereka berdamai.

“Bukan saya secara peribadi ataupun saya sebagai Presiden UMNO (untuk berdamai). Perhimpunan agung sekarang ini yang buat ketetapan.”

Ramai perwakilan yang menyuarakan hasrat untuk melihat perdamaian, dengan Wanita UMNO menjadi pendahulu dalam meminta presiden, timbalan presiden dan naib presiden supaya kembali bersatu sebagai sebuah pasukan dalam usaha memperkukuhkan parti.

Sejauh manakah isyarat yang disampaikan hari ini akan memberi kesan dalam ‘menyembuhkan’ pergeseran dalam parti?

Najib, ketika diajukan soalan ini, berkata: “Lepas ni terpulanglah. Mesej dah jelas. Jika anda tidak faham mesej ini… tak tahulah saya.”

— BERNAMA

ep2p-5small