Sudah Lenyap 'Roh Perjuangan UMNO' Di Jiwa Muhyiddin?

Setelah Perhimpunan Agung UMNO 2015 berakhir baru-baru ini, penulis tidak melihat sebarang perubahan dari Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Biarpun salam dihulur, Muhyiddin seolah-olah tidak ikhlas menyambut salam dari Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, boleh dikatakan majoriti perwakilan UMNO mahu melihat Muhyiddin dan Najib berpeluk. Namun ego dan ‘rasa diri semua betul’ yang ada pada Timbalan Presiden itu seakan-akan menjadi batu penghalang baginya…

Tidak dapat dinafikan bahawa majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada PAU 2015 benar-benar kecewa dengan Muhyiddin. Kata mereka, Presiden UMNO jelas ikhlas merendahkan ego menghulurkan salam damai, namun sikap acuh tidak acuh Timbalan Presiden menjelaskan hatinya langsung tidak ikhlas.

Penulis akui, dulu penulis hormat pada Muhyiddin. Dulu beliau selalu mendengar suara majoriti akar umbi UMNO. Namun mungkin atas dasar kepentingan politik peribadi, di’back up’ pula oleh ‘pencatur seumur hidup politik negara’, dia benar-benar berubah. Teringin sangat kerusi Presidenkah?

UMNO merupakan sebuah institusi atau pertubuhan yang berkonsepkan keluarga. Kuat ketua keluarganya, maka gagahlah UMNO. Teguh pucuk pimpinannya bersatu, maka akar umbi dibawah pun akan teguhlah bersatu di dalam jemaah parti. Itu tradisinya.

Namun hanya kerana satu dua persoalan yang kabur, tidak pasti, bersumberkan dari portal murahan yang terbukti mengubahsuai kebenaran kepada fitnah dan isu yang masih dalam siasatan, Muhyiddin sanggup mengenepikan tradisi keluarga UMNO.

Kenapa tidak disuarakan dalam mesyuarat parti? Sudah disuarakan, tapi tidak disokong majoriti? Kenapa tidak tanya mengapa semua MT UMNO tidak menyokong pertikaian Muhyiddin kecuali Dato’ Seri Shafie Apdal? Kerana mereka faham tentang isu yang dipertikaikan Muhyiddin dan Shafie itu. Bukan kerana takut pada Najib!

Sebetulnya, segala pertikaian Muhyiddin dan Shafie itu telah pun dijawab di dalam mesyuarat. Sudah berbuih taklimat, penerangan dan penjelasan secara terperinci diberikan. Namun mereka dakwa ‘tidak faham’?

Meminjam perkataan Dato’ Seri Mukhriz, ‘bengap’ sangatkah mereka untuk faham? Atau mereka faham sebenarnya, cuma pura-pura tidak faham? MT UMNO yang lain semuanya faham, mengapa mereka berdua tidak faham? Nampak gayanya macam sengaja tidak mahu faham, bukan?

Muhyiddin mendakwa beliau tidak bersalah terhadap Najib dan tiada sebab untuk meminta maaf pada Presiden UMNO itu. Kononnya, beliau hanya mempertikai tentang 1MDB dan RM2.6 bilion, bukannya menyerang peribadi Najib. Kononnya…

Apakah tidak bersalah sekiranya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Presiden UMNO? Apakah tidak salah untuk memburukkan imej parti di khalayak ramai dengan sumber yang tidak pasti dan kabur?

Wajarkah dipertikai tentang sesuatu yang masih dalam siasatan? Tidak salahkah untuk tidak berlaku ikhlas dalam menyatu padukan parti? Apakah itu bukan berusur menyerang peribadi? Sejak bila tindakan yakin pada Sarawak Report melebihi keyakinan pada Presiden itu dianggap sesuatu yang benar? Terang-terang Sarawak Report itu penipu, kenapa Muhyiddin tegar dengan fakta dari pembohong?

Dari sudut politik, sekiranya Muhyiddin berhasrat sangat untuk mencabar jawatan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO nanti, penulis menyarankan supaya beliau mengumumkan keputusan tersebut sekarang. Itupun kalau beliau berani umumlah…

Pada hemat penulis, nampak sangat beliau berhajat mahukan jawatan Presiden. Kelakuan begitu selalunya dilakukan oleh mereka yang sama sikap dengan Mat Sabu dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang lebih mengutamakan kepentingan politik peribadi dan jawatan berbanding kepentingan parti.

Umumkan saja mahu lawan Presiden UMNO nanti, maka kita fahamlah apa hasrat Muhyiddin, bukan? Muhyiddin tidak perlu malu untuk meluahkan keinginannya kerana UMNO mengamalkan demokrasi. UMNO tidak ada jawatan Ketua Umum yang tidak dipertandingkan seperti PKR.

Paling penulis kesalkan ialah di saat UMNO sepatutnya menyusun strategi dan gerakan Barisan Nasional bagi menghadapi ambang Pilihan Raya Negeri Sarawak, Muhyiddin lebih memilih untuk mencetus perbalahan di dalam parti.

Di saat UMNO sepatutnya merangka gerakan dan gelombang menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, Muhyiddin tunjuk keras kepala, ‘buat perangai’, ‘meragam’ tidak tentu hala. Entah dimana beliau letakkan amanah dan tugas sebagai Timbala Presiden pun penulis tidak tahu. Teruk sungguh sikap beliau sekarang seolah sudah hilang roh UMNO di dalam dirinya, kan? –AmirHamzah/Utaranews.com

ep2p-2