Saya Alu-Alukan Kalau DAP Nak Saman, Kata Dr Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Boleh saman saya dan saya tetap bersedia,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

 

Mohd Zuhdi berkata demikian sebagai respon terhadap syor Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kepada pucuk pimpinan DAP untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kesemua pihak terlibat, selepas mengatakan beliau menerbitkan sebuah kenyataan media dalam laman web Pas sebelum ini, yang bukan sahaja tidak betul malah bersifat fitnah dan tohmah yang luar biasa terhadap DAP.

 

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu lagi, beliau mengalu-alukan saman yang dikatakan akan dibuat tersebut kerana cabaran untuk menyaman telahpun dibuat oleh bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Mohamed Razali Abd Rahman sejak empat tahun lalu.

 

Jelasnya, Mohamed Razali telah mencabar pimpinan DAP khususnya Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi kerana pendedahan yang dibuat oleh Razali itu bukan sekadar berkaitan dengan Israel sahaja

 

“Jadi apabila saya dengar DAPSY nak saman, itu saya alu-alukan dan saya minta supaya saman juga Razali kerana kalau betullah apa yang dia dakwa itu salah, maka tidak ada cara lain melainkan di mahkamah.

 

“Saya bangkitkan perkara ini semula kerana perkara empat tahun lalu itu tidak diberi perhatian dan apabila timbul isu atlet Israel tak dibenarkan masuk, maka perlu diketengahkan semulak apa yang dikatakan Razali itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Sebelum ini, Mohd Zuhdi mengatakan bahawa Mohamed Razali sebelum ini mendakwa, pakar risikan Israel terlibat dalam melatih G17 atau kumpulan 17 pakar strategi DAP yang diketuai Tony Pua dan Guan Eng yang sering ke Singapura menemui wakil Kedutaan Israel.

 

Selain itu, DAP didakwa ditawarkan dana sebanyak AS$300 juta (RM1.2 bilion) pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu oleh Israel dan sebuah pangkalan tentera Israel baru akan dibina di Port Dickson sebagai balasan, jika DAP berjaya menawan Putrajaya.

 

Setiausaha Antarabangsa DAPSY Pusat, Howard Lee bagaimanapun menafikan sepenuhnya kesemua tuduhan liar yang termaktub dalam kenyataan tersebut.

 

Jelasnya, tuduhan palsu yang begitu gila dan tidak masuk akal serta terus dikitar semula Mohd Zuhdi itu hanya menunjukkan bahawa mereka berketandusan isu dan idea. – TheRakyatPost