Keluarga Kapten Hasman Tidak Pergi Ke AS

BANDAR SERI JEMPOL – Keluarga Kapten Hasman Hussin, 34, yang ditemukan lemas di Missouri, Amerika Syarikat (AS), mengambil keputusan tidak pergi ke negara itu, sebaliknya menunggu jenazah dibawa pulang, yang dijangka tiba Jumaat ini.

 

Isteri mangsa, Siti Hazwani Ahmad, 29, berkata beliau tidak dapat pergi kerana belum mampu menempuh perjalanan jauh dan lama berikutan masih menyusukan anak kembar mereka yang berusia tiga bulan.

 

“Saya dihubungi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan mengenai penemuan mayat suami kira-kira jam 8 pagi tadi dan diminta menyediakan pasport untuk dibawa pergi ke AS, tapi tidak dapat berbuat demikian.

 

“Keluarga kami sepakat membenarkan ATM menguruskan sepenuhnya proses membawa pulang jenazah suami saya ke Malaysia. Saya difahamkan, jenazah dijangka tiba di sini pada Jumaat ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di FELDA Palong 13, di sini, hari ini.

 

Hasman yang juga pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama empat tentera dari negara lain, dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras banjir yang melanda Missouri pada Sabtu lalu. Sementara itu, bapa mangsa, Hussin Mat, 60, berkata jenazah anaknya akan lebih cepat dibawa pulang jika mereka tidak pergi ke AS.

 

“Kami perlu menyediakan dokumen perjalanan dan urusan lain yang mengambil masa dua hari sebelum menempuh perjalanan jauh ke sana dan pulang semula ke Malaysia.

 

“Tanpa pemergian kami, urusan akan lebih cepat dan jenazah akan terus dibawa pulang oleh ATM. Arwah dijangka dikebumikan di kampung di Masjid Tanah, Melaka,” katanya.-BH