Ibu Tunggal Perlu Hati-Hati Sebelum Kahwin Lagi

DCCK 16 NOVEMBER 2015 (gambar hiasan)20150917_203519

BUKAN mudah seorang wanita mahu buat pengakuan bahawa rumahtangganya berantakan dan hancur kerana perbuatan dan siap buas suami sendiri. Biasanya kita dengar isteri cuba sedaya upaya melindungi nama baik keluarga khususnya suami dengan membuat tomahan kepada orang lain, tetapi berbeza sekali dengan Puan Maizon.
“Saya tak boleh menipu diri sendiri, sebab yang jadi mangsa anak perempuan saya. Sebenarnya memang sukar saya terima kenyataan ini, tetapi benda dah terjadi saya tak boleh biarkan ia berterusan, sebab si mangsa di bawah umur. Sebagai ibu siapa tah sedih? Sedih, memang sedih.’’ Itu cerita Maizon, ketika ditemui dalam satu program khas wanita baru-baru ini.
“Siapa tak sayang suami, semua wanita yang bergelar isteri memang sayang suami. Tambahan pulak suami saya ni, Aidil, memang baik orangnya, dia banyak mengambil berat hal keluarga, banyak bantu kerja saya baik di rumah atau ketika berniaga. Dia ringan tulang!
“Tetapi sapa sangka dalam baik itu dia ambil kesempatan atas kepercayaan saya padanya untuk puaskan nafsu rakusnya. Kerana itu saya nasihatkan ibu tunggal janganlah biarkan anak perempuan anda rapat dengan ayah tiri atau teman lelaki anda. Bahaya! Kalau dah rapat dengan anak kita banyak berlaku buruk daripada baiknya.
“Sebenarnya Aidil, suami kedua saya. Dulu saya ibu tunggal, saya bercerai dengan suami pertama kerana tak tahan dengan perangai panas barannya. Pantang silap saya kena maki dan dipukul. Dia mahu saya ikut kehendaknya 100 peratus, tak boleh bantah. Membantah bermakna saya isteri engkar dan perlu di ajar. Itu katanya mengikut Islam.
“Peliknya bab isteri engkar dia nak ikut Islam, tetapi bab bagi makan minum anak bini dia buat tak tahu. Dah bertahun tahun kahwin tapi masih menumpang belas ikhsan keluarga. Hinggakan adik beradiknya lari pindah dari rumah emak mereka kerana tak tahan perangai bekas suami saya, sudahlah tak mahu bantu emak, sebaliknya harapkan emak dan adik beradiknya tanggung anak bininya. Entah mana punya law dia pakai pun saya tak tahu.
“Lama kelamaan saya buat keputusan tinggalkan suami setelah dia tinggalkan saya tanpa berita bersama 2 orang anak dan dia biarkan saya menumpang di rumah emaknya. Kerana tak tahan saya tuntut cerai setelah berbulan dia tak pulang rumah. Malah emaknya juga nasihatkan saya carilah jalan hidup sendiri kerana sedih dengan perangai anaknya tak bertanggungjawab.
“Saya ambil keputusan tinggalkan suami bukan kerana menderhaka, tetapi kerana tidak dapat nafkah zahir batin selama lebih 6 bulan. Dan saya dapat tahu dia telahpun berkahwin lain.
“Kawan nasihatkan saya tuntut suami di mahkamah sebab kahwin tanpa izin. Sebenarnya daripada saya buang masa, tenaga dan wang ringgit nak saman suami kahwin lain, lebih baik saya cari kerja bagi makan anak-anak. Masalahnya nak cari kat mana. Dia hilang entah ke mana, Kalau emak dan adik beradiknya tak tahu, apatah lagi saya.
“Dua tahun lamanya masalah cerai tak selesai, tetapi akhirnya saya diceraikan juga. Ketika mula-mula ditinggalkan saya tak ada duit langsung, jadi saya terpaksa tinggalkan anak-anak pada kakak sementara saya cari kerja. Dengan pelajaran tak sampai ke mana, kerja yang sesuai hanyalah jadi tukang cuci di sebuah komplek beli belah.
“Saya tak kisah, asalkan ada kerja dan boleh tanggung makan minum 2 orang anak. Saya juga bersyukur kakak mahu bantu tanpa mengira wang. Lepas setahun tinggal dengan kakak, anak-anak saya ambil untuk duduk dengan saya, ketika itu saya menyewa sebuah bilik yang dekat dengan sekolah, jadi anak saya yang sulung tak ada masalah pergi ke sekolah sendiri berjalan kaki, walaupun ketika itu dia baru darjah satu.
“Kerana tak ada duit untuk hantar anak kepada pengasuh, anak kedua saya bawa ke tempat kerja. Saya bersyukur mereka pandai bawa diri, agaknya mereka faham masalah dan kesusahan saya mencari duit untuk beri mareka makan dan pakaian. Habis kerja waktu petangnya saya balik ke rumah sekejap untuk beri anak-anak makan. Dan saya harapkan anak sulung bantu jaga adiknya sementara saya keluar ambil upah cucuk sate. Kadang kala saya bantu orang cuci pinggan di gerai. Begitulah kerja dan kehidupan saya selama 4 tahun.
“Setelah 5 tahun menjanda saya kenal seorang lelaki yang sungguh baik hati, dialah Aidil. Dia banyak bantu saya, terutama ketika saya ingin dapatkan bantuan Jabatan Kebajikan. Dialah bawa saya turun naik pejabat hantar borang itu ini. Malangnya bantuan tak dapat juga. Saya tak faham kategori apa yang Jabatan Kebajikan kira hinggakan saya tak dapat bantuan.
“Ketika anak kedua dalam darjah satu, kami berkahwin. Mulanya memang emak tak setuju, katanya besarkan anak dulu baru fikir pasal kahwin. Tetapi saya memikirkan Aidil amat baik dengan anak-anak saya, rasanya dia memang sesuai jadi ayah tiri anak-anak saya. Lagi pun dia belum berkahwin, tak ada tanggungjawab.
“Selepas kahwin kami pindah menyewa rumah bukan bilik. Walaupun ada satu bilik, tetapi luas, selesa untuk anak-anak bergerak dan belajar. Kerana gaji Aidil kecil, maka saya terus bekerja. Kali ini sebelah malam saya tidak lagi membantu di gerai, sebaliknya saya buat nasi lemak dan sedikit kuih untuk hantar ke gerai. Walaupun hasil tak lumayan, tetapi duit sentiasa ada dalam tangan bolehlah saya berbelanja lebih untuk anak-anak.
“Sepanjang masa anak-anak bersekolah dan kami suami isteri bekerja, Aidil banyak membantu menguruskan rumah dan anak-anak. Dialah ambil budak-budak balik dan hantar ke sekolah dengan motor. Kata Aidil jika dia ambil anak-anak bolehlah saya jimat belanja sikit sebab tak perlu naik bas sekolah atau bas biasa.
“Memang saya terasa banyak senangnya setelah berkahwin, paling penting saya tak kena maki hamun dan dipukul seperti bekas suami pertama dulu. Malah Aidil membantu hantar jualan ke gerai. Bila simpanan bertambah Aidil cadangkan saya berniaga jual nasi, katanya kawanya ada gerai jual air dan sedang cari orang menjual nasi. Kesempatan itu saya ambil.
“Memang saya sibuk berniaga, dan dalam diam tak diam saya sempat lahirkan 2 orang anak dengan Aidil. Kerana itu saya perlu berniaga sebab bilangan keluarga bertambah. Anak-anak saya walaupun berusia 10 dan 13 tahun mereka boleh diharap, merekalah uruskan adik-adik sepeninggalan saya berniaga.
“Senangnya saya masak semua makanan di rumah, setelah siap barulah saya bawa ke gerai untuk jualan. Biasanya petang saya dah balik bila jualan habis. Demikianlah kehidupan saya anak beranak tahun berganti tahun. Terasa memang aman bahagia walaupun hidup tidak sesenang orang lain. Tapi kami cukup makan pakai.
“Tetapi satu hari saya perhatikan anak perempuan saya yang ketika itu baru berusia 13 tahun selalu demam dan muntah-muntah. Keadaannya senmakin teruk membuat saya terpaksa bawa dia ke kelinik untuk rawatan dan pemeriksaan. Alangkah terkejutnya bila doctor beritahu anak saya mengandung! Naik pitam saya, berpinar biji mata! Apa dah jadi? Siapa punya kerja?
“Balik ke rumah saya tanya dia berkali-kali, tapi dia mendiamkan diri tak mahu bercakap langsung. Kerana panic saya minta tolong kakak yang tinggal jauh datang ke rumah untuk bertanya pada anak saya. Masih tak mengaku. Atas nasihat kakak saya buat aduan polis tujuan saya supaya anak saya ini boleh diambil oleh jabatan kebajikan. Sebab dia masih budak. Saya bimbangkan keselamatannya. Akhirnya benda ini jadi kes polis.
“Anak saya mengaku dia mengandung kerana perbuatan Aidil, ayah tirinya. Kaku saya tak terkata. Bila benda ini terbongkar dan jadi kes polis, pastilah rumahtangga saya yang aman bertukar macam diserang tsunami. Aidil bersumpah-sumpah tidak mengaku. Dipendekkan cerita selepas anak saya bersalin secara normal (dengan kuasa Allah) ujian DNA dijalankan ke atas bayi itu. Aidil di hadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara dan sebat. Anak tersebut diberikan kepada Jabatan Kebajikan untuk dibesarkan.
“Ketika itu barulah saya nampak dengan jelas belang Aidil, begitu juga keluarganya, mereka salahkan saya. Aduh! Salah saya ke terpaksa tinggalkan rumah mencari rezeki? Kalau Aidil boleh beri nafkah secukupnya saya pun tak mahu bersusah payah membanting tukang bekerja dan berniaga. Saya pun teringin jadi macam suri rumahtangga lain duduk di rumah cuma uruskan makan minum keluarga. Tetapi kalau saya tak keluar bekerja dan berniaga bolehkah Aidil tanggung kami? Pasti Aidil tak setuju kenapa dia mesti tanggung anak-anak tiri, mereka bukan anak-anaknya. Kenapa bapaknya tak bagi nafkah?
“Sebenarnya saya tak tahu dan tak sedar masa bila Aidil merogol anak saya yang masih mentah tu? Sebab Aidil sering bersama saya? Dan saya rasa perbuatan itu bukan baru. Sebab anak saya takut bercerita pada saya, saya tak tahu mengapa tergamak Aidil menganiaya anak saya yang katanya macam anaknya sendiri.
“Walaupun kejadian ini sudah beberapa tahun berlalu, tapi saya ambil kesempatan di sini untuk nasihati ibu-ibu tunggal yang masih muda, jika anda ada anak perempuan tolong jaga jangan beri dia bebas bergaul dan bermesra dengan ayah tirinya atau teman lelaki anda.
“Saya perhatikan zaman ini ramai ibu-ibu tunggal muda suka membiarkan anak perempuannya bebas dengan teman lelaki mereka atau dengan bapa tirinya, Walaupun tujuannya untuk memesrakan hubungan sebelum mereka berkahwin, tetapi ingatlah ketika syaitan menguasai diri, lelaki tak ingat dosa lagi. Ketika itu seribu penyesalan tidak berguna lagi.
“Saya cakap dari pengalaman, sebenarnya saya tak galakkan Aidil dan anak saya terlalu rapat, tetapi lelaki pandai menggoda, menggula-gulakan kanak-kanak. Dalam pada saya mengawal dan mengawasi mereka, syaitan lebih pandai menguasai fikiran dan menggoda nafsu manusia. Akhirnya anak saya jadi mangsa.’’ Itu pengalaman pahit Puan Maizon, tujuannya meluahkan perasaan untuk nasihatkan ibu-ibu tunggal supaya hati-hati sebelum ambil keputusan berkahwin lagi. Kerana banyak godaan dan cabaran perlu mereka lalui.

ep2p-2